Guna picagari sama suntik vaksin Covid untuk 30 pelajar


  • Benua
  • Sabtu, 30 Jul 2022

Pelajar yang menerima suntikan vaksin menggunakan picagari sama dilaporkan selamat. — Gambar hiasan/Agensi

SEORANG pelajar kejururawatan yang menggunakan picagari sama, untuk memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada lebih 30 pelajar sekolah menengah di India ditahan polis.

Polis berkata, Jitendra Ahirwar, yang dilatih untuk menjalankan program vaksinasi oleh jabatan kesihatan tempatan ditahan awal minggu ini, susulan tindakannya memberi vaksin kepada pelajar dengan menggunakan picagari tunggal di daerah Sagar, di Madhya Pradesh, India.

"Kami telah menahan lelaki itu. Dia telah menyuntik vaksin menggunakan satu picagari.

"Pelajar yang diberi vaksin selamat," kata seorang pegawai polis, Tarun Nayak.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku pada Rabu ketika program vaksinasi mega sedang dijalankan di sebuah sekolah menengah.

Ahirwar, dalam video yang tular di media sosial berkata, dia tidak boleh dipersalahkan dan hanya diberikan satu picagari untuk melakukan vaksinasi.

Ketua Pegawai Perubatan dan Kesihatan daerah Sagar, Dr Devendra Goswami berkata, pegawai vaksinasi daerah itu juga digantung tugas dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Picagari hanya boleh digunakan sebanyak sekali untuk vaksinasi dan ubat bagi mencegah penularan penyakit bawaan darah, mengikut garis panduan kesihatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram