Artis terkenal Indonesia dituduh eksploitasi idea orang miskin


  • Hiburan
  • Isnin, 25 Jul 2022

Suasana peragaan busana jalanan di kawasan Dukuh Atas, Jakarta, Indonesia pada Rabu lalu. — Agensi

TINDAKAN artis Indonesia, Baim Wong memfailkan pendaftaran jenama 'Minggu Fesyen Citayam' kepada Pangkalan Data Harta Intelek (PDKI), Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Kemenkumham) negara terbabit mendapat kecaman hebat dari netizen.

Pendaftaran bernombor JID2022052181 yang dikemukakan melalui perniagaan hiburan PT Tiger Wong Entertainment milik Baim pada 20 Julai 2022 itu bertujuan untuk menjadikan Fesyen Citayam sebagai satu platform fesyen yang sah di sisi undang-undang.

Bagaimanapun, pelakon sinetron Malaikat Kecil Dari India itu menegaskan bahawa niatnya adalah ikhlas untuk membantu menaikkan fesyen Citayam di pesada antarabangsa.

"Saya seorang yang punya visi untuk menjadikan Citayam Fashion Week sebagai platform fashion yang sah dan bukan bermusim. Yang paling penting, boleh memajukan fesyen Indonesia di mata dunia," ujar Baim Wong.

"Orang-orang seperti kami memang harus membantu mereka (remaja). Bukan kerana kami nampak pulangan dari segi kewangan kerana fesyen itu kini viral.

Baim dituduh licik dalam 'mengeksploitasi' idea Bonge dan rakan-rakannya demi kepentingan sendiri.Agensi

"Kami cuma mahu membantu agar fesyen ini mampu pergi lebih jauh dan memanfaatkan banyak orang. Bonge dan rakan-rakannya (pencetus fenomena fesyen Citayam) akan tetap terlibat dalam setiap aktiviti Minggu Fesyen Citayam," katanya kepada media tempatan pada Isnin.

Selain Baim, Minggu Fesyen Citayam turut didaftarkan oleh seorang lagi artis Indonesia, Indigo Aditya Nugroho.

Terdahulu, rata-rata netizen Indonesia berpendapat bahawa kedua-dua artis ini tidak berhak untuk 'mencuri' idea pada sesuatu fenomena yang dimulakan oleh masyarakat.

Malah, kedua-dua artis ini digelar sebagai tamak, tak tahu malu kerana mahu tumpang nama pada satu fenomena yang asalnya dicipta oleh masyarakat kelas bawahan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram