PIHAK berkuasa tempatan memburu sekumpulan monyet yang menyerang dan mencederakan hampir 50 orang di barat Jepun, kata seorang pegawai pada Rabu.
Seekor monyet jantan berjaya ditangkap ketika berkeliaran di kawasan sekolah menengah di bandar Yamaguchi, namun ia mungkin bukan penamat kepada haiwan berbulu itu, manakala monyet lain dikhuatiri sedang bebas.
Pihak berkuasa juga berusaha selama berminggu-minggu untuk menjejaki kumpulan haiwan ganas itu, yang menjadi tajuk berita nasional selepas menyerang penduduk dengan mencakar dan menggigit mangsa.
Pada petang Selasa, pemburu yang dikhaskan untuk menembak monyet itu berbuat demikian dengan pistol penenang dan akhirnya haiwan itu ditangkap berhampiran tasik di kawasan sekolah, kata seorang pegawai di jabatan pertanian.
Monyet yang dikenal pasti bertanggungjawab melakukan serangan dianggarkan berusia empat tahun serta mempunyai ketinggian sekitar setengah meter.
Rondaan dijalankan di Yamaguchi sejak serangan ke atas orang dewasa dan kanak-kanak bermula sekitar tiga minggu lalu.
Namun, dengan jumlah 49 orang cedera setakat tengah hari Selasa dan adanya laporan mengenai serangan baharu, pemburuan masih diteruskan.
"Saksi menggambarkan monyet dengan saiz berbeza dan meskipun selepas membuat tangkapan, kami mendapat laporan mengenai serangan baru," kata salah seorang pegawai bandar yang enggan namanya disiarkan.
Monyet Jepun biasanya dilihat di sebahagian besar tempat di negara itu dan dianggap perosak di sesetengah kawasan apabila memakan tanaman dan memasuki kediaman penduduk.
Namun, serangan berterusan di Yamaguchi adalah luar biasa, dengan beberapa penduduk memberitahu media tempatan bahawa mereka kini membawa payung dan gunting penebang pokok untuk mempertahankan diri. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram