Askar upah 'algojo' bunuh isteri demi kekasih gelap


  • Benua
  • Selasa, 26 Jul 2022

Penembak upahan yang melepaskan dua das tembakan terhadap Rina telah ditangkap. — Agensi

ANGGOTA Tentera Udara Indonesia, Kopda Muslimin disyaki membayar Rp120 juta (RM 35, 668) kepada kumpulan 'algojo' atau pembunuh upahan untuk menembak isterinya, Rina Wulandari.

Ketua Polis Jawa Tengah, Inspektor Jeneral Ahmad Luthfi berkata, Muslimin dipercayai memberikan wang tersebut kepada kumpulan pembunuh upahan tersebut ketika menunggu isterinya di hospital selepas kejadian tembakan itu.

Selepas tembakan dilakukan, Muslimin sempat mengajak kekasih gelap yang hanya dikenali dengan initial W, untuk lari bersama, namun W menolak.

"Di hospital, suami mangsa menghubungi pembunuh upahan tersebut. Kemudian, dia kelihatan keluar dan pergi ke sebuah pasar mini dalam lingkungan 300 meter dari hospital untuk memberi sejumlah wang sebagai upah kepada penembak itu.

"Kami sudah soal siasat W berkenaan insiden tersebut. W mengakui Muslimin mengajaknya lari selepas tembakan tersebut dilakukan, bagaimanapun, dia menolak," katanya.

Lufti mengesahkan bahawa pihaknya telah menahan lima orang pelaku yang diduga terlibat dengan kes tersebut dan memohon Muslimin agar tampil menyerahkan dirinya.

"Saya mohon suami mangsa untuk menyerahkan diri secara suka rela sebelum kami melakukan tindakan yang lebih tegas dalam misi mencarinya," katanya.

Sebagai rekod, isteri Kopral Muslimin, Rina Wulandari ditembak oleh dua orang penunggang motorsikal yang tidak dikenali di hadapan rumahnya,

Rina yang ketika itu baru sahaja pulang dari menjemput anaknya di sekolah terkena dua das tembakan yang mengakibatkan kecederaan di bahagian perut dan masih dirawat di hospital.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram