Makcik kejam, sanggup jual anak saudara sendiri dengan harga lebih RM8,000


  • Benua
  • Khamis, 21 Jul 2022

Suspek cuba menjual bayi tersebut dengan harga RP 30 juta (RM8,912). — Agensi

SEORANG wanita tergamak menjual anak saudaranya yang berusia 8 bulan menerusi aplikasi WhatsApp.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Pelabuhan Tanjung Priok, Penolong Pesuruhjaya Polis Sang Ngurah Wiratama berkata, suspek dikenali dengan pangkal nama A, 51, menjual bayi tersebut kepada beberapa rakan kenalannya.

"Berdasarkan pengakuan A, sudah ada tawaran untuk membeli bayi itu.

"Suspek disyaki cuba menjual anak saudaranya itu kepada pembeli melalui WhatsApp dan jumlah pembeli yang menawarkan membeli bayi tersebut masih dalam siasatan,"katanya.

Menurut Wiratama, suspek turut cuba menjual mangsa melalui halaman sosial media Facebook tetapi status itu telah dipadamkan sendiri oleh suspek.

Niat A untuk menjual anak buahnya terbongkar selepas Polis Pelabuhan Tanjung Priok menerima laporan penduduk yang melihat status Facebook yang dimuat naik oleh suspek sendiri.

Suspek ditahan Unit Siasatan Jenayah Polis Pelabuhan Tanjung Priok yang menyamar sebagai pembeli.

Sementara itu, menurut Ketua Polis Pelabuhan Tanjung Priok, Pesuruhjaya Kanan Polis, Putu Kholis Aryana berkata, suspek cuba menjual bayi tersebut dengan harga Rp30 juta (RM8,912).

"Suspek ditahan di salah sebuah hotel di Pademangan, Jakarta Utara," katanya.

Tambah Putu lagi, suspek juga pernah mengugut ibu mangsa yang berhutang suspek.

"Suspek turut mengancam ibu mangsa yang berhutang RP 11 juta (RM3,271) darinya sekali gus menyebabkan ibu bayi tersebut akur dengan tindakan suspek," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram