Pengusaha restoran guna taktik licik bolot beli minyak masak peket bersubsidi


  • Massa
  • Selasa, 12 Jul 2022

Kelihatan pekerja pengusaha restoran membeli minyak masak bersubsidi di sebuah kedai runcit bertempat di Subang Jaya baru-baru ini.

DI SAAT kesulitan orang ramai cuba mendapatkan minyak masak peket bersubsidi, ada pengusaha restoran menggunakan taktik licik menghantar pekerjanya untuk membeli minyak paket tersebut.

Tinjauan Majoriti di Subang Jaya mendapati ada pengusaha kedai makan menggunakan modus operandi menghantar pekerjanya untuk 'memborong' minyak masak secara berasingan bagi mendapatkan lebih banyak minyak masak paket tersebut.

Bagi mengelakkan perbuatan mereka dihidu, mereka sanggup menyamar dengan mengenakan baju biasa dan membeli terlebih dahulu minyak paket tersebut dan selesai membuat pembayaran, salah seorang daripada rakan mereka akan masuk untuk membeli lagi bahan asas tersebut.

Hal ini secara tidak langsung merunsingkan pemilik kedai runcit untuk mengawal pembelian barang mentah itu.

Menurut salah seorang pekerja kedai runcit yang bertugas sebagai juruwang, permintaan untuk membeli minyak masak peket bersubsidi sangat tinggi dan selalunya akan kehabisan stok dalam masa beberapa hari sahaja.

"Bagi pembelian minyak masak peket bersubsidi, kami akan mengehadkan maksimum sebanyak tiga peket sahaja untuk satu transaksi bagi setiap pelanggan.

"Namun begitu, ada antara pelanggan akan datang secara berkumpulan untuk mendapatkan lebih banyak bekalan minyak masak dan ada masanya saya akan tanya dahulu sama ada mereka datang bersama," katanya kepada Majoriti.

Katanya, dalam situasi tersebut dia tidak mempunyai pilihan lain untuk terus menjual minyak peket bersubsidi tersebut apabila pelanggan menafikan mereka datang secara berkumpulan atau sebagai pengusaha kedai makanan.

"Selalunya mereka ini akan datang pada waktu pagi untuk melihat stok bahan tersebut dan sekiranya ada barulah mereka akan masuk secara berasingan. Ada juga pekerja restoran yang datang menggunakan baju kerja tapi menggunakan alasan sudah balik kerja and beli untuk kegunaan sendiri," katanya.

IMG_20220708_102748

Tinjauan Majoriti mendapati beberapa premis kedai di Subang Jaya mengalami masalah kekurangan minyak masak peket bersubsidi.

Sementara, seorang pemilik kedai runcit lain di kawasan sama yang hanya mahu dikenali sebagai Wong berkata, untuk mendapatkan minyak masak peket bersubsidi agak sukar kerana mereka juga bergantung kepada pembekal.

"Selalunya kami akan menerima satu kotak minyak masak peket bersubsidi yang mana dalam satu kotak hanya ada 12 peket saja.

"Bekalan ini habis terjual dalam masa dua hari. Ada juga pelanggan yang marah mendakwa kami sorok minyak masak tapi kami tidak boleh berbuat apa-apa keranak stok juga terhad dari pembekal," katanya.

Ditanya mengenai penjualan minyak botol, Wong berkata, setakat ini hanya jenama tertentu sahaja yang dijual dan mendapat permintaan di kedainya.

Sementara itu, seorang pelanggan kedai runcit, Ameeta Subramaniam berkata, dia akan pergi ke beberapa kedai di kawasan berhampiran dengan rumahnya dahulu untuk membeli minyak masak paket bersubsidi.

"Oleh kerana stok minyak masak sekarang susah nak cari, saya dan suami akan 'survey' dulu mana-mana kedai runcit yang berdekatan dan sekiranya tiada stok, kami tiada pilihan lain dan beli sahaja minyak masak botol,"

"Bukanlah berkira untuk membeli minyak masak botol tapi ada masanya kami tidak mampu dengan harga barang semakin meningkat," luahnya.

Bagi Azman Abdullah pula, dia lebih suka membeli minyak masak paket kerana harganya yang jauh lebih murah namun dengan keadaan stok yang terhad, dia tidak mempunyai pilihan lain selain membeli minyak masak botol.

"Saya tinggal bersendirian dan tiada keperluan untuk beli minyak masak botol kerana harganya juga agak mahal. Apabila dah tiada subsidi minyak, susah pula nak cari minyak paket ini," katanya yang bekerja sebagai penghantar makanan.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan penghapusan subsidi bagi minyak masak berbotol bagi 2 kilogram (kg), 3kg dan 5kg mulai 1 Julai lalu.

Majoriti berusaha mendapatkan maklum balas daripada KPDNHEP berhubung isu tersebut.—Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram