SEORANG warga emas yang dikhuatiri terjatuh dari jambatan Sungai Simpang Kanan, Batu Pahat, Johor pada Selasa ditemui lemas.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mayat lelaki berusia 68 tahun itu ditemui pukul 12.55 tengah hari pada Rabu di Parit Selulun, Batu Pahat, Johor kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
"Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, Johor untuk bedah siasat.
"Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, seorang warga emas dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari jambatan Sungai Simpang Kanan berdasarkan sepasang selipar yang ditemui di atas jambatan berkenaan.
Selain itu, polis juga menemukan sebuah motosikal yang ditinggalkan di bahu jalan kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.
Katanya, usaha mencari dan menyelamat melibatkan 33 pegawai dan anggota Polis, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram