SEORANG pemandu teksi 'gelap mata' apabila mendapati beg milik seorang penumpang tertinggal di dalam keretanya di Tamansari, Jakarta Barat, Indonesia pada Isnin.
Teruja dengan perkara itu, suspek terus membelanjakan wang berjumlah Rp 10 juta (RM2,960) itu untuk berfoya-foya apabila membeli baucar permainan selain menjamu selera makanan yang enak di restoran.
Ketika dia ditahan pihak polis, kesemua wang tersebut habis digunakan.
Ketua Polis Daerah Tamansari, Superitendan Rohman Yonky berkata, beg itu tertinggal ketika mangsa menaiki teksi yang dipandu suspek dari sebuah kafe di Margonda, Depok menuju ke sebuah hotel di Tamansari pada Isnin.
"Ketika tiba di lokasi dituju, mangsa baru sahaja teringat bahawa barangan miliknya tertinggal di dalam teksi," kata Yonky.
Jelas Yonky, beg itu bukan sahaja mengandungi wang tunai, malah terdapat barang berharga di dalamnya.
"Ada telefon bimbit bernilai Rp 4.6 juta (RM1,360), buku simpanan serta kad ATM," katanya.
Katanya, mangsa tidak beberapa lama kemudian cuba menghubungi suspek dan membuat temu janji untuk bertemu, manakala suspek berjanji untuk memulangkan barang milik mangsa.
"Namun, suspek yang ditunggu-tunggu tidak kunjung tiba. Oleh itu, mangsa melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.
"Suspek didapati membeli baucar permainan dalam talian, pembelian telefon bimbit, membayar makanan di restoran dan bar serta bermain permainan di kafe internet menelan belanja sebanyak Rp 1.8 juta (RM532)," katanya.
Ketika ditahan, suspek mengaku membuang barangan berharga yang terdapat di dalam beg mangsa.
Suspek hanya meninggalkan sekeping kad pengenalan milik mangsa, selain mengaku melakukan jenayah mencuri itu buat kali pertama.
Atas perbuatannya itu, suspek didakwa mengikut Perkara 362 Kanun Jenayah yang boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun.
Selain itu, Yonky menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika dalam perjalanan, terutamanya menaiki pengangkutan awam.
"Jika menaiki pengangkutan awam, sila semak semula (barangan)," nasihatnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram