PENDUDUK Kebon Pala, Makasar, Indonesia dikejutkan dengan penemuan seorang mayat lelaki di sekitar kawasan Lebuh Raya Tol Jagorawi yang dipercayai terkena renjatan elektrik.
Mayat lelaki itu dijumpai pada Sabtu pukul 3.00 petang dan identiti mayat itu masih belum diketahui.
Penemuan mayat itu dijumpai ketika seorang penduduk tempatan sedang mencari rumput untuk makanan haiwan dan dia melihat banyak lalat mengerumuni sesuatu.
Apabila penduduk itu menghampiri kawasan tersebut, rupa-rupanya lalat itu mengerumuni tubuh mayat lelaki yang sudah berulat.
Keadaan mayat itu juga terbelit bersama beberapa kabel elektrik dan pihak polis mengesyaki bahawa lelaki itu cuba untuk mencuri kabel elektrik berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Makassar, Inspektor Mochamad Zen dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, mayat lelaki yang dijumpai oleh penduduk sekitar kawasan Kebon Pala itu dipercayai terkena renjatan elektrik.
"Hasil pemeriksaan di tempat kejadian kedudukan tangan mangsa memegang kabel dan di atas badan mangsa juga terdapat kabel elektrik dari kotak meter projek tren, berdasarkan bukti yang ditemukan.
"Mangsa maut akibat terkena renjatan elektrik voltan tinggi ketika mahu melakukan cubaan mencuri kabel elektrik itu,” ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram