Lelaki pengsan sebelum meninggal dunia ketika bantu sembelih haiwan korban


  • Benua
  • Isnin, 11 Jul 2022

Kejadian itu dikatakan berlaku pada pukul 9 pagi, Sabtu di pekarangan Masjid Darus Salam. — Agensi

SEORANG lelaki berusia 48 tahun meninggal dunia ketika sedang membantu proses penyembelihan sempena Hari Raya Aidiladha di Desa Leminggir, Kabupaten Mojokerto, Indonesia.

Dikenali sebagai Hariyono, lelaki terbabit dilaporkan tiba-tiba pengsan ketika membantu penyembelihan haiwan korban di sekitar kediamannya selepas solat sunat Aidiladha.

Kejadian itu dikatakan berlaku pada pukul 9 pagi, Sabtu di pekarangan Masjid Darus Salam.

Ketika itu, mangsa bersama penduduk lain membantu proses penyembelihan haiwan korban di masjid kampung berkenaan. Namun tiba-tiba mangsa terjatuh dan tidak sedarkan diri.

Selepas itu, dia dikejarkan ke hospital untuk rawatan intensif, namun disahkan meninggal dunia.

Menurut Ketua Polis Mojosari, Komisaris Heru Purwandi, mangsa dikejarkan ke Hospital Prof Dr Soekandar oleh penduduk dan adiknya namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

"Satu laporan dibuat oleh adik Hariyono kepada Polis Mojosari,” kata Heru Purwandi.

Katanya, tiada kesan keganasan pada tubuh mangsa dan menurut keluarga, Hariyono mempunyai sejarah penyakit darah tinggi.

"Keluarga mangsa juga tidak mahu bedah siasat dijalankan dan mereka sekeluarga menerima kejadian itu sebagai musibah dan tidak mendakwa sesiapa.

"Jenazah mangsa terus dibawa pulang ke rumah untuk dikebumikan,” katanya — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram