POLIS sudah mengenal pasti identiti seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis terlibat dalam kes serangan ke atas ibu dan anak di Mustikajaya, Bekasi, Indonesia.
Ketua Polis Daerah Bantargebang, Kompol Samsono berkata, suspek yang berpakaian seragam polis itu datang seorang diri ke rumah mangsa, yang dikenali sebagai Siti Rohani.
Suspek yang dikenali sebagai RZM, 22, memberi alasan mahu mencari suami mangsa, selain mendakwa kononnya suami mangsa terlibat aktiviti pengedaran dadah, dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 6 petang Khamis.
"Suspek meletakkan kenderaan di hadapan rumah mangsa atau di tepi jalan sebelum mengetuk rumah mangsa. Selepas mangsa membuka pintu, suspek berpura-pura bertanya tentang suami mangsa," katanya.
Ketika itu, mangsa menjawab bahawa suaminya belum pulang, suspek seterusnya meluru masuk ke dalam rumah dan menutup pintu dari dalam.
Secara tiba-tiba, suspek mengambil sebilah pisau dari dalam beg dan membaling ke arah anak perempuan mangsa yang dikenali sebagai Melinda.
Suspek kemudian mengambil pisau tersebut dan bertindak menikam Siti Rohani.
Dalam suasana cemas itu, Melinda berlari menyelamatkan diri dan menjerit meminta tolong.
"Namun, suspek mengejar dan menarik rambut kanak-kanak tersebut, seterusnya menyebabkannya melanggar dinding," katanya.
Pihak polis masih melakukan siasatan tentang motif kejadian manakala suspek berjaya ditangkap pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Polis Metro Bekasi, Kombes Hengki menerusi sidang akhbar berkata, suspek dipercayai membeli uniform anggota penguatkuasa termasuk seluar dan kasut secara atas talian dan disahkan sebagai tiruan.
Hengki berkata, pihaknya sedang menyiasat aktiviti penjualan pakaian seragam polis secara berleluasa.
Beliau juga berharap ada mekanisme yang boleh mengawal selia pembelian seragam polis secara dalam talian.
"Jadi, kita juga mengharapkan mereka yang menjualnya secara dalam talian perlu memastikan bahawa mereka benar-benar menjual kepada individu yang betul. Dan ini tanggungjawab kita bersama," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram