SEORANG lelaki yang memiliki enam isteri di Palembang, Sumatera Selatan, Indonesia dan menjadi buruan sejak 10 tahun lalu akhirnya dijatuhkan hukuman kerana menikam salah seorang mentuanya.
Suspek, M Ibrahim yang menikam bapa mentuanya ditahan pada Ahad di Gandus, Kota Palembang selepas 10 tahun bersembunyi.
Kejadian itu berlaku pada tahun 2012 selepas pelaku dilaporkan berasa jengkel dengan perangai isteri kelima yang sering pulang ke rumah ibu bapanya di Desa Kenten, Daerah Talang Kelapa, Banyuasin.
"Saya tanya mak mentua saya baik-baik, tapi dia marah. Saya cuma tanya kenapa dia (isteri) selalu pulang ke sana dan membeli-belah sedangkan dia tidak bekerja.
"Saya juga tidak memberi wang kepadanya, Jadi, mana dia dapat duit untuk berbelanja,” katanya ketika ditahan di Balai Polis Talang Kelapa Banyuasin, pada Ahad katanya seperti dilaporkan Tribunnews.com.
Ekoran tidak mendapat jawapan yang memuaskan, lelaki itu kemudian naik berang dan bertindak menikam bapa mentuanya sebanyak tiga kali di rusuk dan lengan.
Melihat keadaan bapa mentuanya berlumuran darah, suspek segera melarikan diri.
Selama 10 tahun, suspek itu sentiasa menukar tempat persembunyian malah, dia pernah ke Batam untuk melarikan diri daripada polis.
"Saya ada enam isteri, seorang isteri sah manakala pernikahan dengan lima isteri lain tidak didaftarkan di pejabat agama. Sekarang saya sudah ceraikan semua kerana selepas kejadian itu saya lari supaya tidak ditangkap polis," katanya.
Ketua Polis Talang Kelapa Banyuasin, Komisaris Polis, Sigit Agung Susilo berkata, suspek, M Ibrahim atau Baim ditahan di kawasan Gandus selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.
"Suspek kecewa kerana isteri kelima selalu pulang ke rumah ibu bapanya. Jadi, suspek datang bertemu keluarga mentua itu untuk mendapatkan penjelasan.
"Walaupun bapa mentua itu ditikam tiga kali, mangsa terselamat,” kata Sigit. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram