BEKAS pemain bola sepak Liga Indonesia, Claudio Martinez menjadi mangsa pukul yang didakwa dilakukan oleh beberapa pekerja kelab malam di Kuningan, Jakarta Selatan, Indonesia.
Ketua polis Metro Jaya, Endra Zulpan mengatakan kejadian itu berlaku pada Ahad, kira-kira pukul 2.30 pagi waktu Malaysia di sebuah kelab malam di kawasan Mega Kuningan, Setiabudi, Jakarta Selatan.
Ketika itu, isteri bekas penjaga gol kelab Persigo ini telah menegur salah seorang pekerja di kelab malam itu.
Tidak lama kemudian dilaporkan pekerja kelab malam itu datang dan terus memukul pemain bola sepak kelahiran Chile ini.
"Ketika di kelab, isterinya menegur salah seorang pekerja di sana. Tidak lama kemudian, tiba-tiba pelayan kelab itu, langsung memukul Claudio Martinez," kata Zulpan dalam satu kenyataan bertulis, Isnin.
Akibat perbuatan pekerja kelab malam itu, mangsa mengalami beberapa kesan lebam di muka, kepala dan seluruh badan.
“Claudio Martinez mengalami lebam di muka, kepala, leher dan seluruh badannya,” katanya mengenai mangsa berusia 40 tahun itu yang juga bergelar aktor ini.
Zulpan berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Berdasarkan laporan, Isteri Claudio Martinez, Ana berkata kejadian bermula daripada perkara remeh yang mana suaminya telah dilanggar dan secara tidak sengaja terpijak kaki salah seorang pekerja di situ.
Selepas sahaja pertengkaran bermula antara Claudio Martinez dan salah seorang pekerja bar itu, beberapa pelayan lain datang dan memukulnya.
“Mereka mencekik, membelasah dari depan dan belakang. Kalau suami saya salah, kami sudah minta maaf. Sepatutnya pihak keselamatan menyelesaikan perkara ini tetapi mereka menggunakan kekerasan,” katanya.
Ana mengesahkan, lebih daripada lima suspek terlibat dalam kejadian yang berlaku terhadap Claudio Martinez itu.
"Kami lihat semua berpakaian putih lebih daripada lima orang," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram