Pelajar praktikal terjatuh bangunan pernah jadi mangsa buli


  • Benua
  • Jumaat, 01 Jul 2022

Pelajar itu ditemui mati setelah didakwa terjun dari Gedung Graha Pena, Makassar pada Rabu.

MAYAT pelajar perempuan dikenali RP yang meninggal dunia akibat didakwa terjun dari tingkat enam Gedung Graha Pena, Makassar, Sulawesi, Indonesia tiba di rumah jenazah di Kabupaten Toraja Utara, Sulawesi Selatan, pada Khamis.

Rakan mangsa, CH mendedahkan, mahasiswi itu sebelum ini pernah menjadi mangsa buli oleh beberapa rakan praktikalnya.

“Dia memang sering dibuli,” kata CH kepada portal detikSulsel di rumah jenazah pada Khamis.

Tambah CH, mangsa sebelum ini terlibat dalam masalah dengan salah seorang rakannya dan RP sudah meminta maaf.

Namun, selepas meminta maaf, RP dibuli oleh rakan tersebut.

“Sebelum ini mangsa mencuri duit 1.3 juta rupiah (RM400) kawannya. Selepas sahaja rakannya itu melapor kepada pihak polis, RP terus mengaku perbuatannya itu. Waktu itulah, dia mula dibuli oleh mereka,” kata CH.

CH tidak menjelaskan lebih lanjut sama ada mangsa yang didakwa terjun bangunan kerana masalah itu ataupun terdapat motif lain.

Untuk rekod, pelajar itu ditemui mati setelah didakwa terjun dari Gedung Graha Pena, Makassar pada Rabu.

Mangsa dipercayai sedang mengikuti program latihan industri di bangunan berkenaan.

Susulan kejadian itu, 11 pelajar praktikal diberhentikan dari menjalani fatihan industri oleh pihak kampus.

Mereka dikatakan trauma dengan kejadian yang dialami RP.

“Jadi ada 12 orang di sana melakukan internship dalam program MBKM di Graha Pena Makassar termasuk RP,” kata penyelia mangsa, Dion, kepada detikSulsel pada Rabu.

“Hari ini kita akan berhentikan mereka, pihak kampus sudah memberitahu perkara ini kepada mereka,” tambah Dion. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram