Taktik wanita kaburi polis guna seluar dalam merah terbongkar


  • Benua
  • Jumaat, 01 Jul 2022

Wanita tersebut sudah menerima tiket ETLE kerana melanggar peraturan lalu lintas. — Agensi

VIDEO seorang penunggang motosikal wanita tular di Indonesia selepas dia ditangkap menutup plat kenderaannya menggunakan seluar dalam berwarna merah.

Kejadian penunggang motosikal yang menutup plat dengan seluar dalam itu dipercayai berlaku di Lamongan, Jawa Timur, Indonesia.

Tindakan penunggang motosikal jenis Honda Scoopy itu disyaki untuk mengelak untuk membayar tiket elektronik atau Electronic Traffic Law Enforcement (ETLE).

Untuk makluman, tiket ETLE mula beroperasi di beberapa kawasan sekitar Indonesia. Pemandu yang didapati melanggar peraturan akan diambil gambar menggunakan telefon bimbit dan kereta khas ETLE.

Selain bukti-bukti pelanggaran peraturan, plat lesen kenderaan juga akan diambil gambar oleh pihak berkuasa yang bertugas.

Video tersebut dimuat naik di Instagram oleh @tse.arth dan dikongsi semula oleh @beritalamongan sehingga aksi wanita itu tular di media sosial.

Bagaimanapun, wanita itu akhirnya memberikan penjelasan dan memohon maaf menerusi laman aplikasi TikTok, @adah_dahh.

"Saya sudah pun diberi peringatan berhubung undang-undang lalu lintas oleh pihak polis. Di masa akan datang saya berjanji tidak akan mengulanginya semula dan akan menggunakan media sosial dengan baik," kata pengguna akaun TikTok itu.

Dalam muat naik terbaharu, pemilik akaun nampaknya sudah menerima tiket ETLE kerana melanggar peraturan lalu lintas.

Pihak polis juga mengesahkan pihaknya sudah berjumpa dengan wanita berkenaan.

"Polis sudah melihat video itu dan sudah berjumpa dengan penunggang motosikal dalam video tersebut. Ini sebagai pengajaran untuk semua dan sentiasa berwaspada dengan 'posting' kandungan bahan di media sosial," kata jurucakap polis Indonesia, Aris ketika ditemubual Kompas.com.

Aris turut merayu kepada pemandu supaya tidak takut dan mengelak dari dikenakan tiket ETLE dengan cara tertentu.

Tambahnya, sekiranya pemandu itu mematuhi peraturan jalan raya seperti yang ditetapkan, mereka tidak akan mendapat tiket ETLE.

"Baru-baru ini, Polis Lamongan dan Polres lain di Jawa Timur, Indonesia menjalankan ETLE Mobile atau INCAR dan ETLE statik. Tetapi selagi pemandu tidak melanggar peraturan, kenapa mereka perlu takut?" soalnya.

Selain itu, beliau turut menjelaskan apabila menerima tiket, pemandu akan diminta mengesahkan sama ada individu yang diambil gambar adalah pemiliknya atau tidak.

"Penerima surat pengesahan tidak diberikan tiket serta-merta, tetapi diberi peluang untuk mengesahkan sama ada pemilik kenderaan memandu atau kenderaan itu dijual kepada pihak lain," jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram