SEORANG lelaki maut setelah ditemui di dalam perut seekor buaya di Kampung Irarutu, Kecamatan Babo, dekat Kabupaten Teluk Bintuni, Papua Barat, Indonesia pada Khamis.
Perkara itu terbongkar selepas penduduk kampung curiga apabila melihat seekor buaya di muara teluk dengan perut buncit.
Tidak mengambil masa lama, mereka terus bertindak membelah perut buaya tersebut dan menemui mayat Yeniman Bernard, lelaki yang hilang sejak dua hari lalu.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Teluk Bintuni, Asisten Komisioner Juni Siregar.
"Memang betul, mangsa ditemukan di dalam perut buaya," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Jun berkata, kejadian bermula mangsa bersama lima rakannya menaiki sebuah bot dari Babo ke Kampung Tofoi untuk mengusahakan projek pembinaan sekolah pada 28 Jun lalu.
Ketika perjalanan, mangsa dan lima rakan sekerja bersetuju untuk mencari ikan menggunakan jaring.
"Beberapa minit kemudian, mangsa turun bersama salah seorang rakannya turun dari bot untuk memasang pukat sambil berenang," katanya.
Ketika pukat dipasang, rakan mangsa kembali ke bot sambil mengajak mangsa menaiki bot.
Namun, mangsa menangguhkan permintaan itu dan mahu mandi terlebih dahulu.
"15 minit kemudian, mangsa dilihat lemas di dalam kawasan perairan tersebut.
"Dua minit kemudian mangsa muncul di permukaan air sambil meminta bantuan," katanya.
Pada masa sama, June berkata, kelima-lima rakan mangsa telah cuba membantu.
Namun, seekor buaya dilihat menerkam mangsa sehingga mangsa tidak berdaya.
Rakan-rakan mangsa kemudian pergi ke balai polis untuk membuat laporan berkaitan kejadian itu.
"Saya segera mengarahkan Ketua Polis Daerah melakukan pencarian dan buaya itu juga sudah ditemui.
"Selepas perutnya terbelah, memang ada mangsa di dalamnya," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram