SETIAP tahun di Aidilfitri, bau biskut oren yang baru dibakar dan biskut serbuk gula biasanya memenuhi udara di rumah Mona Abubakr.
Tetapi disebabkan harga barang yang melonjak naik, suri rumah warga Mesir itu tahun ini membuat kuantiti manisan yang sedikit, beberapa daripadanya dihadiahkan kepada saudara mara dan jiran tetangga.
Ibu kepada tiga anak itu turut mengubah satu lagi tradisi Aidilfitri yang bermula pada Isnin (2 Mei 2022) di Mesir dan beberapa negara majoriti Islam sempena menandakan berakhirnya bulan suci Ramadan.
Dia juga mengurangkan jumlah pakaian yang dibeli untuk anak lelakinya buat perayaan selama tiga hari itu.
"Saya memberitahu mereka bahawa kita perlu berkompromi dalam beberapa perkara agar mampu menampung perbelanjaan untuk perkara lain," katanya.
Tahun ini, umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidilfitri, lazimnya diraikan dengan solat berjemaah, kunjung mengujung, berkumpul bersama keluarga dan sanak saudara perhimpunan, jamuan raya dan pakaian baharu.
Dalam situasi semasa dengan lonjakan harga makanan global yang diburukkan lagi oleh perang di Ukraine, ramai yang memilih untuk menikmati hari raya di tengah-tengah kelonggran sekatan Covid-19 di negara mereka manakala, bagi yang lain, perayaan itu dicemari dengan konflik dan pergolakan ekonomi.
Peperangan di Ukraine dan sekatan ke atas Rusia telah mengganggu bekalan bijirin dan baja dan menaikkan harga makanan pada masa inflasi sudah melanda.
Sebilangan negara majoriti Islam sangat bergantung kepada Rusia dan Ukraine untuk import gandum mereka, contohnya.
Malah sebelum pencerobohan Rusia, kesan pandemik Covid-19 pada tahun 2020 telah mewujudkan gangguan rantaian bekalan, menyebabkan kelewatan penghantaran dan mendorong harga makanan dan komoditi lain meonjak naik.
Di sesetengah negara, akibat daripada perang di Ukraine hanya menambah kesusahan mereka yang sudah mengalami pergolakan ekonomi, politk dan sosial (kemiskinan).
Di wilayah barat laut Idlib yang dikuasai pemberontak Syria, Ramadan tahun ini lebih sukar berbanding sebelum ini.
Abed Yassin berkata, dia, isteri dan tiga anaknya kini menerima separuh daripada keperluan makanan harian termasuk kacang ayam, lentil, beras dan minyak masak, yang biasanya mereka perolehi daripada kumpulan bantuan.
Ekonomi Syria terjejas oleh peperangan, sekatan Barat, rasuah dan kegawatan ekonomi di negara jiran, Lubnan yang turut menyebabkan wang milik rakyat Syiria disekat di bank negara itu.
Di Semenanjung Gaza, walaupun jalan dan pasar sibuk, ramai yang mengatakan mereka tidak mampu membeli dalam kuantiti yang banyak.
"Keadaannya sukar, sebilangan pekerja tidak dibayar dengan gaji yang mencukupi malah, selebihnya berdepan kesusahan, kata Um Musab, ibu kepada lima anak, ketika dia melawat pasar tradisional di Kota Gaza.
Mahmoud al-Madhoun, yang membeli beberapa pes kurma, tepung dan minyak untuk membuat kuih raya, berkata, meskipun keadaan kewangan semakin teruk dia tetap berazam untuk meraikan Aidilfitri.
Enklaf Palestin, yang banyak bergantung pada import, sudah terdedah dengan kesan pergolakan ekonomi sebelum perang Ukraine.
Ini berikutan wilayah itu berada di bawah sekatan ketat Israel-Mesir yang bertujuan untuk mengekang pemerintah militannya, Hamas.
Rakyat Afghanistan menyambut hari raya pertama sejak pengambilalihan Taliban dalam keadaan keselamatan dan ekonomi yang suram.
Ramai yang berhati-hati namun mereka tetap memenuhi masjid terbesar di Kabul untuk solat pada Ahad di tengah-tengah kawalan keselamatan yang ketat.
Letupan yang kerap berlaku sepanjang tempoh menjelang hari raya, termasuk pengeboman maut, dakwanya didalangi oleh sekutu negara Islam yang dikenali sebagai IS di Wilayah Khorasan.
Mereka menyasarkan etnik Hazara yang kebanyakannya merupakan golongan Syiah, menyebabkan ramai daripada mereka berdebat tentang sama ada selamat atau tidak untuk menghadiri solat hari raya di masjid.
"Kami tidak akan berhenti bersuara, mereka tidak boleh terus menindas kami," kata ketua masyarakat Dr Bakr Saeed sebelum Aidilfitri.
Keganasan bukan satu-satunya punca kebimbangan. Sejak pengambilalihan Taliban pada Ogos, ekonomi Afghanistan merudum dengan harga makanan dan inflasi yang melambung tinggi.
Di sebuah pusat pengedaran makanan amal di Kabul pada Sabtu, Din Mohammad, bapa kepada 10 orang anak, berkata, dia menjangkakan Aidilfitri kali ini adalah yang paling teruk.
"Dengan kemiskinan, tiada siapa yang boleh menyambut hari raya seperti dahulu.
"Saya harap kita mempunyai pekerjaan dan bekerja supaya kita boleh membeli sesuatu untuk diri kita sendiri, tidak perlu menunggu orang memberi kita makanan," katanya.
Umat Islam mengikut kalendar lunar, dan metodologi, termasuk melihat bulan, boleh membawa kepada perbezaan hari buat sambutan Aidilfitri di beberapa negara.
Di Iraq, penduduk di sana mengunjungi pasar pakaian ibu kota tahun ini. Isu keselamatan turut menjadi kebimbangan di musim perayaan, dengan pasukan keselamatan diarah supaya berjaga-jaga dari Ahad hingga Khamis.
Tindakan itu dilakukan untuk mengelak kemungkinan serangan selepas pengeboman berani mati di Baghdad pada 2021 yang berlaku menjelang satu lagi cuti besar Islam dan mengorbankan berpuluh-puluh orang.
Di India, minoriti Islam di negara itu berdepan konflik akibat fitnah oleh nasionalis Hindu yang telah lama menyokong pendirian anti-Muslim.
Ketegangan memuncak menjadi keganasan pada Ramadan, termasuk melontar batu antara kumpulan Hindu dan Islam.
Pendakwah Islam mengingatkan umat beriman supaya sentiasa berwaspada semasa Aidilfitri.
Muslim India "secara proaktif menyediakan diri mereka untuk menangani yang terburuk", kata Ovais Sultan Khan, seorang aktivis hak asasi manusia. “Tiada apa-apa seperti dahulu bagi umat Islam di India, termasuk hari raya.”
Namun, ramai orang Islam di tempat lain bergembira dalam menghidupkan semula ritual yang terganggu oleh sekatan wabak.
Berjuta-juta rakyat Indonesia telah bersesak-sesak di dalam kereta api, feri dan bas menjelang Aidilfitri ketika mereka keluar dari bandar-bandar utama untuk meraikan hari raya bersama keluarga mereka di kampung.
Kembalinya tradisi kepulangan menimbulkan keseronokan yang besar selepas dua tahun raya disambut suram akibat sekatan wabak.
Umat Islam di Malaysia juga berada dalam suasana perayaan selepas sempadan negara mereka dibuka semula sepenuhnya susulan peralihan ke endemik.
Bazar Ramadan dan pusat beli-belah telah dipenuhi pembeli menjelang Aidilfitri dan ramai yang pulang ke kampung halaman. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram