Afghanistan terkesan perang di Ukraine


  • Benua
  • Sabtu, 19 Mac 2022

HARG makanan di Afghanistan meningkat hampir 40 peratus sejak lapan bulan lalu.— Agensi

SEORANG pegawai dari Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa, perang Rusia di Ukraine memberi kesan ke atas ekonomi global yang turut menyaksikan kenaikan harga makanan dan bahan api di Afghanistan.

Sejak pengambilalihan Taliban pada pertengahan Ogos, Afghanistan semakin tenggelam dalam kemiskinan dan krisis ekonomi.

Sebanyak 95 peratus daripada 38 juta penduduk negara itu tidak mempunyai bekalan makanan atau wang yang mencukupi untuk menampung kehidupan mereka.

Jurucakap Program Makanan Sedunia, Shelley Thakral berkata, harga makanan di Afghanistan meningkat hampir 40 peratus sejak lapan bulan lalu.

Program Makanan Dunia (WFP) telah membelanjakan AS$1 bilion (RM 4.19 bilion) untuk memberi makan berjuta-juta rakyat Afghanistan pada 2022, namun mereka memerlukan sebanyak AS$1.6 bilion (RM6.71 bilion) dana tambahan.

“Perkara yang membimbangkan buat semua negara miskin lain di seluruh dunia termasuk Afghanistan adalah kenaikan harga makanan dan bahan api,” kata Thakral.

Walaupun kebanyakan bekalan gandum Afghanistan datang dari Kazakhstan dan Uzbekistan, Thakral berkata, peningkatan kos makanan dan bahan api akibat perang boleh bertambah sehingga 20 peratus berbanding kos menyediakan bantuan kemanusiaan.

Apabila Taliban merampas kuasa, wang penderma antarabangsa, yang membayar lebih daripada 80 peratus peratus bil Afghanistan, menjadi kering dan ekonomi negara itu merudum.

Thakral berkat, 80 peratus rakyat Afghanistan berhutang kerana mereka terpaksa meminjam untuk membayar makanan atau ubat-ubatan, malah rakyat Afghanistan yang bekerja mencari bantuan makanan kepada WFP kerana mereka tidak mampu membeli makanan.

Laporan Pemerhati Hak Asasi Manusia yang dikeluarkan Khamis berkata, sejak Januari, kira-kira 13,000 bayi baru lahir meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan penyakit berkaitan kelaparan di Afghanistan dan 3.5 juta kanak-kanak memerlukan sokongan nutrisi.

"Sekarang di Afghanistan, apa yang kita perlu kekalkan ialah perhatian terhadap penduduk di sini," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram