BUDAK lelaki yang jatuh dalam perigi di perkampungan Shokak, Zabul di Afghanistan meninggal dunia pada petang Jumaat.
Mayatnya ditemui selepas usaha menyelamat berlangsung selama 100 jam, menurut laporan berita portal berita Afghanistan, Asvaka News Agency di Twitter.
"Dengan rasa penuh sedih, adik Haidar pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya," tulis Anas Haqqani, penasihat kanan di kementerian dalam negeri kendalian Taliban menerusi satu ciapan di Twitter pada Jumaat.
Kanak-kanak itu dikenali sebagai Haidar terperangkap dalam perigi sedalam 20 meter (m) sejak Selasa lalu dan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menghampirinya susulan halangan batu besar.
Terdahulu, Jurucakap Polis Zabul, Zabiullah Jawhar berkata, pasukan penyelamat bertugas sepanjang malam dan batu besar menghalang mereka daripada terus menggali.
"Kami bimbang debu pasir jatuh menimpa budak itu (Haidar) dan boleh menyebabkan kehilangannya, jadi kami sangat berhati-hati," katanya kepada AFP.
LAPORAN berita antarabangsa berhubung kematian Haidar. — Twitter
Datuk kanak-kanak itu, Abdul Hadi, 50, berkata, Haidar jatuh pada Selasa ketika dia dikatakan cuba membantu penduduk menggali lubang di kampung itu yang menghadapi kemarau.
Sumber berkata, Haidar jatuh di kedalaman 25 m tetapi berjaya ditarik dengan tali sehingga 10 m sebelum tersangkut.
Wakil kerajaan Taliban kelihatan memantau operasi itu, malah beberapa pegawai memuat naik video penyelamatan yang rumit itu.
Insiden menimpa kanak-kanak dipercayai lima tahun itu hampir sama seperti nasib yang berlaku kepada arwah Rayan Oram, yang meninggal dunia di Maghribi selepas terperangkap dalam lubang perigi.
Rayan, juga lima tahun ketika kejadian dilaporkan terperangkap lebih empat hari dalam perigi sedalam 32 m dan operasi menyelamat itu berakhir tragedi apabila dia ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram