Viral di TikTok, peminat Indonesia cover lagu 'tangkap leleh' Malaysia


  • Hiburan
  • Rabu, 22 Jun 2022

LAGU genre balada atau berentak perlahan mudah menangkap halwa telinga pendengar. Ini dibuktikan apabila pemegang takhta juara pertama Anugerah Juara Lagu bermula 1986 yang dimenangi oleh Francesca Peter bertajuk Sekadar Di Pinggiran.

Kemudian disusuli dengan Menaruh Harapan, Zaiton Sameon (1987); Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu, Ramlah Ram (1988); Isabella, Search (1989); Janji Manismu, Datuk Aishah (1990),Takdir dan Waktu, Mega (1991), Pada Syurga di Wajahmu, Datuk Nash (1992) dan Teratai Lagu Di Tasik Madu, Fauziah Latiff (1993).

Meskipun sebilangannya diselitkan dengan elemen rock, namun kata kunci lagu tersebut tetap berentak perlahan dan sering menjadi 'peneman' ketika sedang patah hati.

Sama juga dengan kemunculan artis baharu yang meledakkan nama mereka dengan lagu balada atau tangkap leleh seperti Aiman Tino, Ku Rela Dibenci; Tergantung Sepi, Haqiem Rusli dan Sumpah Naim Daniel.

Disebabkan itu tidak hairan jika banyak lagu tempatan mendapat tempat dalam kalangan pendengar dari negara sebarang, Indonesia.

Lebih beruntung apabila medium media sosial, TikTok menjadi platform baharu untuk menaikkan semula lagu-lagu lama sehingga diminati oleh pendengar muda.

Tanpa diketahui sama ada pemuzik atau individu yang bertanggungjawab dalam bidang pemasaran, tetapi golongan seperti ini bijak eksploitasi karya orang lain sekali gus mengaut keuntungan.

Ini kerana kebanyakan lagu yang kerap digunakan sebagai muzik latar video akan popular semula meskipun sebilangannya diterbitkan sekitar 1990-an.

Justeru, berikut antara beberapa lagu tangkap leleh Malaysia yang dinyanyikan semula atau cover sekali gus mendapat perhatian di YouTube.

1. Penyanyi: Raffa Affar

Lagu: Tiara (Kris)

Jumlah tontonan: 15 juta

Nama bintang ini mula menjadi sebutan selepas lagu cover beliau, Cinta Sampai Mati kerap digunakan sebagai muzik latar bagi video yang melibatkan kematian aktres jelita Thailand, Tangmo Nida.

Lagu tersebut dijadikan sebagai tajuk drama bersiri dalam talian (web series) bergandingan Citra Wati. Video drama terbabit dimuatnaik pada 24 November 2011. Kemudian itu menjadi titik tolak beliau menjadi terkenal dan terus popular dalam industri muzik Indonesia.

Raffa Affar juga sebelum ini pernah menyanyikan semula lagu Mencari Alasan yang dipopularkan oleh kumpulan Exists.

2. Penyanyi: Zinidin Zidan, Tri Suaka

Lagu: Mengintai Dari Tirai Kamar (Buih Jadi Permaidani) Exists

Jumlah tontonan: 13 juta

Nama Tri Suaka sangat popular dalam kalangan peminat TikTok dan Instagram. Pemuzilk berusia 28 tahun itu menarik perhatian pendengar dengan suara emasnya.

Begitu juga Zinidin Zidan yang popular di YouTube. Selain mencuri tumpuan Buih Jadi Permaidani, terbaharu beliau turut membuat cover lagu Tiara yang dinyanyikan kumpulan Kris.

3. Penyanyi: Elma

Lagu:Sepi Sekuntum Mawar Merah (Berlayar Tak Bertepian) Ella

Jumlah tontonan: 1.2 juta

Merupakan penyanyi di bawah naungan Bening Music Entertaiment di YouTube. Setelah membuat cover lagu Buih Jadi Permaidani, beliau kemudian menyanyikan lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah (Berlayar Tak Bertepian).

4. Penyanyi: Happy Asmara

Lagu: Bukan Cinta Biasa (Cintaku Bukan Diatas Kertas) Datuk Seri Siti Nurhaliza

Jumlah tontonan: 12.7 juta

Happy Asmara atau Heppy Rismanda Hendranata merupakan penyanyi terkenal Indonesia yang popular dengan lagu dangdut.

Menerusi akaun Aneka Safari, Happy Asmara menyanyikan semula lagu Bukan Cinta Biasa atau Cintaku Bukan Diatas Kertas sehingga menjadi antara lagu yang popular di TikTok.

5. Penyanyi: Tri Suaka

Lagu: Cinta Tiga Segi (Perangkap Cinta) Ayie

Jumlah tontonan: 13 juta

Lagu 'misteri' Cinta Tiga Segi masih lagi meninggalkan tanda tanya apabila wujud pelbagai spekulasi mengenai kisah sebenar disebalik pembikinannya.

Selain popular dengan tajuk Cinta Tiga Segi, lagu itu juga dikenali sebagai Perangkap Cinta yang dikatakan terkenal di Singapura.

Kesahihan pencipta lagu itu tetap menjadi tanda tanya apabila peminat lebih percaya kepada kisah Hazwan yang merupakan banduan tahanan akhir kerana didapati membunuh teman lelaki kekasihnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram