Terdesak jualan lembu merudum, penternak terjebak edar dadah


  • Benua
  • Rabu, 15 Jun 2022

Polis turut menemukan beberapa plastik kecil berisi dadah di kandang lembu suspek. — Agensi

HANYA disebabkan penjualan lembu ternakannya tidak mendapat sambutan, seorang lelaki menerima padah selepas ditangkap kerana terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

Kejadian berlaku di Kabupaten Pasuruan, Indonesia dan suspek yang berusia 47 tahun ditahan ketika berada di kandang lembunya.

Ketua Bahagian Narkotik Polis Pasuruan, Slamet Wahyudi berkata, suspek mengaku menjadi pengedar dadah kerana jualan lembunya semakin merudum disebabkan wabak penyakit mulut dan kuku (FMD) yang melanda Jawa Timur, Indonesia.

"Suspek ditangkap kerana terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah dan ditangkap di kadang lembu ternakannya.

"Serbuan dibuat selepas kita mendapatkan maklumat dan melakukan risikan beberapa hari sebelum itu," katanya.

Menerusi serbuan itu, polis telah menemukan 12 bungkusan lutsinar yang dipercayai berisi dadah jenis syabu seberat 1,21 gram.

Tambahnya, polis turut menemukan beberapa alatan yang dipercayai digunakan suspek untuk menghisap dadah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram