Kantoi curi pagar masjid bersejarah, aksi 2 lelaki dirakam CCTV


  • Benua
  • Khamis, 23 Jun 2022

Dua suspek yang ditahan bersama alat yang digunakan untuk memotong pagar masjid. — Agensi

DUA lelaki ditahan polis selepas didapati mencuri pagar besi Masjid Raya Al Mashun, Medan, Indonesia.

Difahamkan, suspek yang masing-masing berusia 34 dan 33 tahun itu menggunakan pemotong besi untuk menanggalkan pagar masjid berkenaan.

Ketua Polis Medan Kota, Ipda Widi berkata, insiden melibatkan masjid yang dianggap bersejarah di Medan itu diketahui menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Insiden itu berlaku pada 10 Jun lalu dan menerusi rakaman itu, kita melihat suspek pertama telah masuk bersama alat memotong besi.

unnamed

Dua lelaki mencuri pagar di bahagian belakang Masjid Raya Al Mashun, Medan, Indonesia. — Agensi

"Tidak lama selepas itu, suspek telah memanggil rakannya ke dalam sebelum kedua-dua mereka keluar sambil membawa pagar besi yang telah dipotong," katanya.

Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat oleh pihak masjid selepas itu dan kedua-dua suspek berjaya ditahan beberapa hari selepas itu.

Tambahnya, hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek telah mengaku melakukan kegiatan jenayah mencuri pagar masjid.

Katanya lagi, mereka kini sedang ditahan reman sebelum dibawa ke mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum sembilan tahun. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram