PAKAIAN di jemuran yang dibiarkan tergantung di luar sebuah rumah flat tiga bilik selama seminggu, menjadi petunjuk kepada jiran-jiran bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan penghuni kediaman tersebut.
Rumah di tingkat lima flat Blok 85 Commonwealth Close, Singapura itu dihuni oleh seorang wanita warga emas dengan anaknya.
Namun, pada tengah hari Selasa (21 Jun), seorang lelaki berusia 54 tahun, dipercayai anak wanita terbabit ditemukan meninggal dunia di dalam flat berkenaan.
Mangsa dilaporkan sudah meninggal dunia selama seminggu, manakala ibunya, yang berusia 80-an, dalam keadaan bersedih kerana meratapi pemergian anaknya itu, demikian menurut akhbar Shin Min Daily News.
“Sepasang kasut kulit juga dijemur di bawah terik matahari selama seminggu, namun dia tidak pernah mengambilnya. Itu membuatkan saya berasa hairan,” kata seorang penduduk, Boey Sook Kam, 68, kepada The Straits Times pada petang Rabu.
Sook Kam, seorang tukang cuci sambilan yang tinggal bersama anak dan suaminya berkata, mangsa yang berketinggian kira-kira 1.8 meter akan menyidai pakaian pada pukul 8.30 pagi.
Sesekali, dia melihat lelaki itu meninggalkan flat dan kembali dengan makanan atau barangan runcit.
Ibunya pula akan keluar dari rumah untuk menyiram tanamannya di koridor.
Polis terpaksa memanggil seorang tukang kunci untuk masuk ke flat terbabit kerana warga emas itu tidak mengendahkan ketukan di pintu.
Kelihatan sepasang kasut kulit milik anak warga emas itu yang ditinggalkan di penyidai selama seminggu. — Agensi
Sebaik polis berjaya masuk, wanita terbabit meraung selain mendapati anak lelakinya terbaring di lantai ruang tamu.
Sook Kam, yang tinggal di flatnya selama 27 tahun berkata, pasangan ibu dan anak itu suka menyendiri dan mengelak daripada berinteraksi dengan jiran.
Tambahnya, dia ada tercium bau busuk ketika berjalan ke lobi lif, tetapi tidak mengesyaki apa-apa yang ganjil.
Kebanyakan penduduk lain di tingkat sama memberitahu mereka tidak menghidu apa-apa bau dan hanya mengetahui tentang kematian itu selepas enam kereta polis dan ambulans tiba di blok berkenaan pada petang Selasa.
Jiran sebelah rumah mangsa yang enggan dikenali berkata, dia dan suaminya bagaimanapun mengesan bau busuk dari unit itu kira-kira seminggu.
Dia menambah bahawa suaminya menghubungi polis pada Isnin, setelah bau yang disyaki bangkai tikus itu semakin menyengat hidung.
Polis Singapura berkata, mereka dimaklumkan mengenai kes kematian luar biasa di Blok 85 pada pukul 12.38 tengah hari Selasa.
Lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik. Polis tidak mengesyaki perbuatan khianat dan siasatan lanjut sedang dijalankan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram