SEORANG lelaki berusia 50 tahun, mengelar leher ibu kandungnya, 70, dan adik perempuannya yang berumur 30 tahun sehingga mati.
Lelaki itu memberitahu bahawa dia menerima bisikan sebelum menetak ibu dan adiknya di kampung Susah Air, Kecamatan X Koto Diatas, Kabupaten Solok, Sumatera Barat, Indonesia pada Sabtu.
Ketua Unit Siasatan Jenayah (Polres) Polis Kota Solok, AKP Evi Wansri ketika dihubungi Kompas.com pada Ahad berkata, kejadian itu terjadi pada Sabtu sekitar pukul 11.00 pagi waktu Malaysia.
“Ia berlaku sekitar jam 11.00 pagi dan kami berjaya menangkap suspek pada sebelah petang,” katanya.
Evi berkata, kejadian itu disedari apabila salah seorang anak mangsa di Pekanbaru menghubungi penduduk di kampung itu untuk meminta bantuan melihat keadaan ibu bapa dan adik-beradiknya.
Penduduk kampung kemudian pergi ke rumah mangsa namun apabila nama ahli keluarga itu dipanggil tiada sebarang jawapan daripada mereka.
Disebabkan pintu hadapan dikunci, mereka kemudian masuk melalui tepi rumah dan mendapati pintu itu terbuka.
"Apabila masuk, mereka mendapati kedua-dua mangsa terbaring berlumuran darah" ujarnya.
Penduduk kemudian melaporkan kejadian menyayat hati itu kepada polis dan kemudian pihak berkuasa tiba di lokasi kejadian itu.
“Daripada hasil siasatan dan keterangan saksi, kami menahan suspek iaitu anak kandung mangsa sendiri,” kata Evi.
Berdasarkan maklumat suspek, dia melakukan pembunuhan itu kerana mendapat bisikan ghaib.
"Dia mendakwa menerima bisikan ghaib. Sekarang kita sedang memantau sama ada suspek mengalami gangguan mental atau tidak," kata Evi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram