SEORANG peguam warga Bangladesh dilaporkan menghina Nabi Muhammad S.A.W di media sosial pada Rabu, menambahkan lagi ketegangan sedia ada di seluruh negara itu.
Hantaran di Facebook itu tular di media sosial ketika negara Asia Selatan yang majoriti penduduknya beragama Islam itu berang terhadap kenyataan menghina Nabi Muhammad S.A.W oleh dua pegawai Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah India, minggu lalu, lapor Agensi Anadolu.
Peguam lain yang mengadakan bantahan besar-besaran di Mahkamah Agung Bangladesh, tempat peguam itu bekerja, turut merosakkan pejabatnya.
Mereka turut mengadakan perhimpunan mendesak peguam itu segera dihukum, manakala Majlis Peguam Mahkamah Agung Bangladesh sudah pun menggantung keahlian peguam tersebut.
Satu kes sudah pun difailkan terhadap peguam terbabit di Balai Polis Shahbag, Dhaka, Bangladesh pada Rabu.
"Kami sudah pun menerima kes yang diklasifikasikan sebagai diari aduan (GD) dan akan menyerahkan laporan itu kepada unit siber esok (Khamis) untuk siasatan,” kata pegawai bertugas, Moudud Hawlader kepada Anadolu.
Kenyataan peguam itu amat mengguris sentimen Islam dan menggugat keharmonian penduduk, menurut laporan polis itu.
Seorang peguam kanan Mahkamah Agung, Md Jashim Uddin, menegaskan, tindakan yang dibuat peguam itu amat tidak dijangka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram