Malaysia, India setuju iktiraf sijil vaksinasi Covid-19


  • Primer
  • Sabtu, 18 Jun 2022

Saifuddin ketika Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-India. — Sinar Harian

MALAYSIA dan India bersetuju mengenai pengiktirafan bersama sijil vaksinasi Covid-19 kedua-dua negara.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatannya di India Subrahmanyam Jaishankar menyaksikan pertukaran dokumen itu antara Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Hidayat Abdul Hamid dan Saurabh Kumar, Setiausaha Timur di Kementerian Hal Ehwal Luar India (MEA), di New Delhi pada Jumaat.

Kedua-dua menteri juga bersetuju mengadakan mesyuarat Suruhanjaya Bersama India-Malaysia di Malaysia, menurut kenyataan MEA.

Pertemuan dua hala antara Saifuddin dan Jaishankar diadakan di luar sesi Mesyuarat Khas Menteri Luar Asean-India.

"Kedua-dua menteri memutuskan untuk memberi momentum baharu dalam hubungan melibatkan ekonomi dan perdagangan termasuk membabitkan sektor minyak kelapa sawit dan hidrokarbon," tambah kenyataan itu.

Perkembangan serantau dan global turut disentuh ketika sesi perbincangan itu.

Jaishankar menerusi ciapan di Twitter berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan Saifuddin untuk memperkukuh kerjasama politik, ekonomi, pertahanan, tenaga, konsular, budaya dan hubungan rakyat dengan rakyat.Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Malaysia, India, sijil vaksinasi, covid-19