Sokong ahli politik hina Nabi Muhammad, 4 warga Nepal kena cekup


PDRM turut merampas peranti dipercayai digunakan untuk merakam dan memuat naik hantaran yang ditularkan itu.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat lelaki warga Nepal selepas disyaki terbabit dalam kes sebuah video tular di aplikasi TikTok mengenai pendirian menyokong perjuangan ahli politik dari India yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kesemua individu berusia 26 hingga 27 tahun ditahan di Meru, Klang, Selangor pada Khamis oleh anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

Beliau berkata, PDRM turut merampas peranti dipercayai digunakan untuk merakam dan memuat naik hantaran yang ditularkan itu.

"Usaha untuk mengesan suspek yang bebas masih diteruskan dan individu yang terlibat dalam rakaman video itu diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Abd Jalil berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 JSJ Bukit Aman di talian 03-22666071.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Terdahulu, tular sebuah rakaman video berdurasi 18 saat memaparkan sekumpulan warga asing berkumpul di hadapan kuil Batu Caves dan menyatakan pendirian menyokong perjuangan Hindu Samachar serta tindakan Nupur Sharma, ahli politik dari parti Bharatiya Janata yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram



Lebih Pilihan