Dua lelaki maut selepas selamatkan kanak-kanak lemas


  • Benua
  • Jumaat, 17 Jun 2022

Kedua-dua mereka dihanyutkan ke dalam terowong saliran bawah tanah, sejurus selepas ribut menurunkan hujan lebat. — Agensi

MAYAT dua lelaki yang maut selepas menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Milwaukee, Wisconsin, Amerika Syarikat ditemui pasukan penyelamat pada Khamis.

Kesemua mangsa dipercayai lemas selepas dihanyutkan arus deras semasa menyelamatkan kanak-kanak terbabit yang hampir lemas di dalam parit saliran ketika hujan lebat pada Isnin.

Menurut wakil pasukan penyelamat, kedua-dua mereka dihanyutkan ke dalam terowong saliran bawah tanah, semasa cuaca ribut dan hujan lebat.

Mayat Mohammed Roshidulcah, dari Milwaukee, ditemui pada pada Selasa kira-kira 2.4 kilometer ke hilir dari pintu keluar terowong.

Seorang lagi mangsa yang juga merupakan bapa kepada kanak-kanak terbabit pula ditemui pada Khamis di beberapa kilometer di hilir terowong

Menurut ketua pasukan bomba Milwaukee, Aaron Lipski, operasi mencari dan menyelamat melibatkan beberapa anggota termasuk penyelam dan menggunakan dron serta peralatan sonar.

Katanya, kesemua mangsa merupakan individu yang sangat dikenali di komuniti tempat mereka tinggal.

"Tiada seorang pun daripada kita dapat membayangkan betapa pemergian mereka merupakan kehilangan besar kepada komuniti ini," katanya pada Khamis.

Terdahulu, seorang bapa dan rakannya hanyut dalam arus deras di parit saliran selepas menyelamatkan anaknya di Milwaukee, Wisconsin, Amerika Syarikat pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, kanak-kanak berkenaan dipercayai jatuh ke dalam parit berkenaan semasa hendak mengejar bola miliknya.

Menyedari kejadian itu bapa kepada kanak-kanak terbabit terjun ke dalam parit untuk menyelamatkan anaknya.

Dia bagaimanapun dihanyutkan arus deras selepas berjaya menyelamatkan anaknya.

Seorang lagi lelaki yang berada di lokasi kejadian cuba menyelamatkan bapa kanak-kanak tersebut, namun dia turut dibawa arus deras parit berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram