KERIANGAN tiga wanita termasuk dua beradik berkelah di Sungai Lata Changkah, Ulu Seladang di Setiu, Terengganu pada Jumaat berakhir dengan tragedi selepas mereka terjatuh ke dalam sungai dan disahkan lemas.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Affandi Hussin berkata, mangsa adalah Syaridatul Nurfatihah Mohd Dera, 28 dan adiknya Syariatul Noor Safiqa, 26 yang berasal dari Kampung Hilir Maras di Kuala Nerus manakala seorang lagi mangsa iaitu sepupu mereka Siti Aishah Mazalan, 19, berasal dari Kampung Mengabang Telung, Kuala Nerus.
Katanya, difahamkan kejadian berlaku apabila kesemua mangsa telah hampir selesai berkelah bersama keluarga pada sekitar 2.30 petang tadi sebelum salah salah seorang daripada mereka tergelincir lalu jatuh.
"Semasa jatuh mangsa telah menarik bersama-samanya dua orang lagi mangsa lain. Ketiga-tiga mangsa kemudiannya cuba diselamatkan orang awam dan mereka ditemui kira-kira pukul 3.15 petang.
“Semua mangsa dihantar ke Hospital Setiu untuk pemeriksaan lanjut namun disahkan telah meninggal dunia,” katanya.
Katanya hasil siasatan mendapati kawasan kejadian tersebut adalah terlindung dan tidak dapat dilihat dari tepi jalan serta agak bercerun.
Sementara itu, jenazah ketiga-tiga mangsa lemas itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad awal pagi Sabtu.
Jenazah mereka tiba di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hilir Maras dekat Batu Rakit pada 3.23 pagi dan selamat dikebumikan kira-kira 4 pagi.
Ibu kedua-dua beradik itu Sarimah Awang, 62, berkata meskipun terkejut dengan kehilangan serentak anak ketiga dan anak keempat yang juga anak bongsunya itu, dia reda dengan ujian tersebut. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram