Dari penyodok ke isu parkir, penyokong luah rasa tidak puas hati terhadap SNBJ


  • Podium
  • Ahad, 12 Jun 2022

Para petugas Stadium Nasional Bukit Jalil menggunakan penyodok sampah dan kertas keras menolak air hujan yang bertakung di atas padang pada Sabtu. — Facebook

KEKECEWAAN penyokong terhadap isu petugas Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menggunakan penyodok untuk mengeluarkan air hujan yang bertakung di atas padang masih belum reda, timbul lagi beberapa masalah berbangkit selepas perlawanan pada Sabtu itu.

Pelbagai rungutan yang disuarakan oleh penyokong terhadap pengurusan SNBJ yang disifatkan tidak teratur dalam mengurus perkara berkaitan pengunjung stadium termasuklah kemudahan sedia ada seperti parkir.

Seorang penyokong yang enggan dikenali memberitahu Majoriti, dia antara ribuan penyokong yang hadir ke SBNJ untuk menyaksikan perlawanan antara Malaysia dan Bahrain pada Sabtu.

Atas faktor usia, dia memilih untuk hadir ke stadium menggunakan kenderaan persendirian berbanding menggunakan pengangkutan awam.

Apabila tamat perlawanan, dia terkejut dengan keadaan parkir di SBNJ yang bersepah seolah-olah tiada pihak yang menguruskan susunan parkir penyokong.

"Penyokong kena bayar RM10 lepas tu parking bersepah sampai ada blok yang kereta.

"Sehinggakan ada penyokong ini terpaksa menunggu hingga pukul 1 pagi, baru boleh keluar stadium kerana masalah parkir itu," katanya kepada Majoriti.

Malah ada juga penyokong difahamkan terpaksa menukar tayar kereta selepas tamat perlawanan kerana bocor akibat sikap tidak bertanggungjawab beberapa individu yang meletakkan taburan paku di kawasan parkir SNBJ.

WhatsApp Image 2022-06-12 at 4.55.37 PM

Tangkap layar penyokong yang terkena taburan paku. — Facebook

Selain daripada dua tersebut, penyokong skuad kebangsaan juga mengalami masalah dengan sistem tiket dan pembahagian tempat duduk dalam stadium sehinggakan ada yang terpaksa duduk di tangga SNBJ sahaja.

"Ada yang terpaksa duduk di tangga walaupun sudah membeli tiket mengikut tempat duduk yang ditetapkan oleh Tickethotline. Tak wajar layan penyokong begini kerana semua berhak dapat tempat duduk masing-masing," kata portal Harimau Malaya menerusi hantarannya.

"Pihak pengurusan pun kena main peranan..ada Marshall pun tak membantu..kasihan aku tengok. 4 orang semalam kerusi sendiri tapi kena halau," kongsi penyokong, Mohammad Fairuz.

"Tandas banjir. Bertakung air, pengudaraan gagal. Rasa lemas dalam tu. Khemah solat wajib ditambah. Kasihan tengok ada penyokong yang ambil wudhu pun guna air hujan. Sampah yang tak dikutip bukan salah penyokong kesemuanya ...tong sampah dah penuh berlimpah tiada pekerja yang kosongkan tong....imej negara tercemar dek kerana benda-benda macam ini...nampak kecil tapi impaknya besar...kalau nak ke level Asia fasiliti pun kena lah sama level," kata Misbahulmunir Bin Shafiei.

Pihak Majoriti cuba mendapatkan respons SNBJ berhubung perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram