SEORANG lelaki orang kelainan upaya (OKU) maut selepas terjatuh dari eskalator di Lapangan Terbang Gatwick, London, Britain ketika mahu menuruni pesawat syarikat penerbangan tambang murah, EasyJet.
Dalam kejadian pada Rabu, mangsa difahamkan tidak sabar menunggu bantuan untuk turun daripada pesawat dan melakukannya sendiri sebelum kakitangan tiba.
Isterinya turut dibantu turun dari pesawat oleh kakitangan keselamatan dari Wilson iaitu firma swasta yang diupah untuk membantu penumpang OKU.
Berdasarkan kenyataan pengurusan Lapangan Terbang Gatwick, siasatan sedang dijalankan dan menegaskan kejadian tersebut tidak berkaitan dengan masalah kekurangan kakitangan.
Menurut sumber, seorang kakitangan datang untuk membawa wanita itu ke lapangan terbang tetapi lelaki tersebut ditinggalkan di dalam pesawat.
"Dia pasti tidak mahu menunggu kakitangan itu kembali jadi dia memilih untuk ke terminal sendiri.
"Ketika berada di atas eskalator penumpang itu terjatuh dan mengalami kecederaan parah yang mengakibatkan dia meninggal dunia.
'Ini adalah insiden tragis yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.
Sumber itu turut mendakwa, isu sebenar yang berlaku adalah masalah kekurangan kakitangan hingga menyebabkan sesetengah OKU terpaksa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan bantuan.
Katanya, kakitangan lapangan terbang telah diingatkan supaya tidak membantu penumpang OKU jika mereka tidak layak ,walaupun hakikatnya penumpang OKU sering menunggu berjam-jam.
Bagaimanapun, pengurusan lapangan terbang Gatwick berkata, perkara itu sudah biasa bagi kakitangan untuk menurunkan penumpang yang memerlukan bantuan khas secara bergilir.
Seorang jurucakap berkata, kejadian itu berlaku ketika kakitangan lapangan terbang membantu menurunkan tiga penumpang OKU berkerusi roda, sambil menambah kekurangan kakitangan bukan punca kejadian tersebut berlaku.
"Ini adalah kejadian yang menyedihkan dan tragis dan kami simpati dengan apa yang berlaku terhadap mangsa.
"'Seorang kakitangan Wilson James sedang menunggu ketika pesawat itu tiba dan sedang dalam proses menurunkan tiga penumpang OKU semasa kejadian itu berlaku.
"Kekurangan kakitangan bukanlah faktor dalam insiden ini, namun Ia adalah perkara biasa bagi seorang kakitangan untuk menurunkan tiga penumpang yang memerlukan bantuan dengan membawa mereka satu demi satu.
"Satu siasatan rasmi sedang dijalankan," ujarnya.
EasyJet turut mengesahkan tragedi itu dalam satu kenyataan, sambil menambah anggota kru kabinnya memberikan bantuan perubatan kepada penumpang yang tidak dinamakan itu sementara menunggu bantuan daripada paramedik. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram