JENDELA perpindahan kedua yang dibuka sejak 28 Mei bulan lalu, menyaksikan banyak kelab rancak berbelanja untuk memperkemaskan skuad masing-masing bagi mengharungi saki-baki saingan liga.
Pasukan Sri Pahang FC melalui laman rasmi Facebook, sudah mengumumkan empat kemasukan pemain baharu yang mana terdiri daripada tiga pemain import dan satu pemain tempatan pada Jumaat.
Jelas dengan kemasukan pemain-pemain baharu pasukan Pahang, Ketua Jurulatih, Christophe Gamel serius ingin bangkit dan terus memberikan cabaran buat kelab-kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M).
Pemain yang menarik perhatian ialah Andres Steven Rodriguez, penyerang muda kelahiran Colombia yang dipinjamkan oleh pasukan Independiente Medellín yang mana merupakan kelab liga divisyen 1 Colombia.
Pahang membawa empat pemain baharu yang mana terdiri daripada tiga pemain import dan satu pemain tempatan. — Facebook
Penyerang dari Colombia itu menjadi rekrut terbaru Sri Pahang di jendela perpindahan kedua Liga M sehingga tamat saingan Piala Malaysia 2022.
Sebelum bersama Independiente Medellín, pemain yang berusia 23 tahun itu sempat dipinjamkan ke kelab divisyen 2 Colombia, Leones FC pada musim 2021.
Ia musim yang hebat bagi pemain tersebut apabila berjaya membantu Leones menghuni kedudukan teratas dalam Liga Categoria Primera B.
Rodriguez juga merupakan penjaring terbanyak liga tersebut dengan rekod 14 gol dalam 16 perlawanan.
Musim ini bersama Independiente Medellín, Rodriguez sempat melakukan 11 penampilan berserta empat jaringan gol sebelum berhijrah ke Malaysia.
Melalui kapsyen Facebook Sri Pahang, pemain berusia 24 tahun ini dibawa masuk menggantikan Mahmoud Za’tara, secara pinjaman selama enam bulan dari kelab Divisyen Satu Colombia itu.
Rodriguez akan menggantikan Mahmoud Za’tara secara pinjaman selama enam bulan. — Agensi
Bercakap kepada Wartawan Colombia, Rodriguez mengakui gembira dapat tawaran beraksi dengan kelab dari luar negara walaupun tidak mempunyai pengalaman dengan suasana bola sepak Asia.
“Ya, Sri Pahang FC. Saya akan ke sana secara pinjaman selama 6 bulan dengan pilihan lanjutan kontrak selama 6 bulan serta pilihan untuk pembelian. Saya harap dapat melalui musim yang hebat sepertimana yang dilakukan ketika bersama Leones dan Envigado.
“Perpindahan itu sudah disahkan, pasukan ini menunjukkan minat yang tinggi dan ia adalah salah satu daripada pasukan besar di Malaysia,” katanya melalui satu temubual bersama wartawan Colombia, Juan Pablo Rúa Jiménez.
Ini adalah kali pertama Rodriguez akan bermain di Asia dengan sasaran utamanya adalah mahu mengulangi sentuhan sama itu.
Hidalgo berjaya menambat hati penyokong Tok Gajah dengan gaya permainannya sehingga diberi gelaran Maradona Pahang. — Facebook
Pihak pengurusan Pahang mungkin membawa masuk Rodriguez bagi membentuk gandingan berbisa bersama pemain kelahiran Argentina, Manuel Hidalgo bagi mempertajamkan lagi bahagian serangan pasukan Tok Gajah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram