SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun bukan sahaja menjadi mangsa rogol empat lelaki, tetapi juga anggota polis ketika hadir membuat laporan di Lalitpur, Uttar Pradesh, India.
Menurut laporan media, pihak berkuasa juga mengesahkan yang seorang anggota polis juga telah ditahan pada Rabu lalu.
Difahamkan, kanak-kanak malang tersebut sebelum ini telah diculik dan ditahan selama empat hari di Madhya Pradesh serta telah diperkosa beberapa kali.
Selain kesemua suspek, polis turut menahan seorang wanita yang dipercayai terlibat menculik kanak-kanak tersebut.
Namun, kesemua suspek sehingga kini masih belum di bawa ke mahkamah untuk proses pendakwaan.
Polis juga mengatakan yang pihak mereka sedang melakukan siasatan terperinci berkaitan dengan tindakan anggotanya yang turut merogol mangsa.
Sementara itu, apa yang berlaku terhadap kanak-kanak itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat terhadap pihak polis.
Seorang ahli politik dari parti pembangkang Kongres India, Priyanka Gandhi Vadra turut mempertikaikan polis berkaitan perkara tersebut.
"Jika pejabat polis pun sudah tidak selamat untuk wanita, ke mana lagi mereka mahu pergi untuk dapatkan perlindungan," katanya.
Isu jenayah seksual di India sering menjadi bahan bualan apatah lagi pada tahun 2020, sebanyak 28,000 kes kekerasan seksual terhadap kanak-kanak bawah umur dilaporkan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram