Berang dituduh curang, mekanik disyaki pukul isteri hingga maut sehari sebelum raya


  • 112
  • Jumaat, 06 Mei 2022

Kejadian dipercayai berlaku sehari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.

BERANG selepas hubungan sulit didedahkan di media sosial, seorang lelaki dipercayai telah memukul isterinya hingga maut dalam kejadian di sebuah rumah flat di kawasan Cheras, Selangor pada 30 April lalu.

Difahamkan, suspek kemudian pada pagi raya pertama telah membawa mangsa yang berusia 28 tahun ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

Pemeriksaan luaran terhadap mangsa mendapati terdapat kesan lebam di beberapa anggota badan mangsa dan satu laporan polis dibuat selepas itu.

Hasil bedah siasat kemudian mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan abdomen akibat hentakan kuat dengan menggunakan senjata tumpul.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa dipercayai telah ditendang dan dipukul menggunakan tangan serta senjata tumpul sehingga menyebabkan kematian.

"Suspek yang juga suami mangsa yang berusia 38 tahun dan bekerja sebagai mekanik kemudian telah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Motif pembunuhan disebabkan suspek marah terhadap mangsa yang telah memuat naik di media sosial yang suspek mempunyai hubungan sulit," katanya.

Jelasnya, siasatan kes juga telah menemukan bukti dan keterangan jelas yang mengaitkan suspek dengan kematian isterinya.

Tambahnya, suspek akan dituduh di bawah Sek 302 Kanun Keseksaan pada 9 Mei depan di Mahkamah Majisret Kajang, Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram