Elak budaya 'bawa perut', jamuan rumah terbuka bukan ganjaran penuhi nafsu makan


  • Sihat
  • Sabtu, 07 Mei 2022

Elak datang dengan perut lapar keterlaluan ke majlis jamuan rumah terbuka hari raya.

BIASANYA pelbagai jenis juadah disajikan sepanjang musim perayaan. Pastinya, deretan menu tersedia ketika mengunjungi rumah terbuka mampu membangkit selera.

Bukan tidak boleh menikmati hidangan yang disajikan lantaran ‘tuan rumah’ bersusah payah menyediakannya. Namun, kita perlu sentiasa beringat untuk memastikan hidangan yang diambil tidak berlebihan sekali gus memberi kesan kepada kenaikan berat badan mendadak.

Pengamal perubatan, Dr Zubaidi Ahmad berkata, setiap sajian yang diambil haruslah pelbagai dan memenuhi diet seimbang dalam kuantiti tidak berlebihan.

Kenaikan berat badan secara mendadak dan sukar menurunkannya kembali akan memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka masa panjang.

Berat badan berlebihan atau obesiti meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, sakit jantung, strok dan sebagainya.

Oleh itu, melalui gaya hidup sihat seperti mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat dan meningkatkan aktiviti fizikal adalah sangat penting pada bila-bila masa walaupun ketika menyambut musim perayaan untuk mengekalkan berat badan ideal.

Peningkatan berat badan yang mendadak selalunya disebabkan pengambilan makanan dalam kuantiti yang banyak dan kurang sihat. Misalnya, makanan yang tinggi kandungan gula dan lemak.

"Individu itu mungkin meletakkan diri mereka dalam tempoh memberi ‘ganjaran’ kepada diri. Disebabkan itu, mereka hendak menikmati makanan yang enak dalam kuantiti yang banyak semasa musim perayaan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Setiap individu digalakkan makan dengan kuantiti yang sedikit tapi lebih kerap seperti tiga hidangan utama dan dua hidangan ringan (snek). Ini boleh mengelakkan rasa terlalu lapar. Snek ringan seperti roti sandwich, buah, biskut, susu soya dan buah-buahan amat digalakkan.

Selain itu, jarakkan diri dari tempat makan ketika berada di jamuan hari raya. Anda juga dinasihatkan supaya fokus kepada perbualan dengan saudara-mara dan kawan berbanding makanan.

Selain itu, anda juga digalakkan makan buah-buahan dan minum segelas air kosong sebelum mula makan jamuan hari raya.

Ingat tiga kata kunci iaitu pelbagai, seimbang dan sederhana. Ambil pelbagai jenis makanan daripada semua kelas makanan iaitu kumpulan karbohidrat, protein, lemak, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Melaluinya, kita boleh dapat kebanyakan nutrisi yang diperlukan. Pada masa sama, kita juga perlu minum sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong setiap hari.

Anda juga dinasihatkan untuk mengamalkan pemilihan makanan harian yang seimbang. Terlalu sedikit atau banyak, kedua-duanya adalah tidak baik kepada diet anda.

Pengambilan makanan dalam kuantiti yang sederhana juga amat penting. Amalan pengambilan makanan berdasarkan keperluan yang sepatutnya masih membenarkan anda menikmati makanan kegemaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram