Wanita tertua berusia 121 tahun ditemukan


  • Benua
  • Khamis, 05 Mei 2022

Keadaan manusia tertua di dunia ketika menjalani rawatan baru-baru ini.

SEORANG wanita yang tinggal di Brazil dipercayai merupakan manusia tertua di dunia dan disedari rekodnya itu ketika sedang dirawat.

Maria Gomes dos Reis, dipercayai berusia 121 tahun ditemukan di Bom Jesus da Lapa, Brazil, selepas dia jatuh sakit dan menerima rawatan di rumahnya.

Menurut sijil kelahirannya, dia dilahirkan di kampung Bela Vista, Brazil pada 16 Jun 1900 dan masih tinggal di kawasan itu sehingga kini.

Pesara yang kini terlantar di katil itu tinggal bersama cucu perempuannya Celia Cristina, kerana semua anaknya sendiri telah pun meninggal dunia.

Menurut Celia, neneknya sebelum ini yang menjaga dirinya dan cucu-cucu yang lain sebelum terlantar lebih lapan tahun lalu.

"Buat masa ini nenek memang masih dalam keadaan terbaring dan kami yang akan uruskan dirinya termasuk memberi makan dan menukar pakaiannya," katanya.

Untuk rekod, manusia tertua yang masih hidup kini ialah wanita Perancis, Lucile Randon, yang dilahirkan pada 11 Februari 1904 dan berusia 118 tahun.

Menurut Celia, dia tidak menjangka yang neneknya merupakan manusia tertua di dunia kerana dia tidak mengetahui umur sebenar wanita itu.

Sementara itu, cicit perempuannya, Vitoria Stefani berkata, tahap ingatan moyangnya masih segar sebelum ini namun sejak kebelakangan ini sudah mula lupa banyak perkara.

Namun, keluarga Maria bagaimanapun belum lagi menyatakan hasrat sama ada mahu menghubungi Guinness World Records berkenaan dengan umur wanita itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram