SEORANG pegawai polis ditahan di rumahnya selepas disyaki terbabit dalam pembunuhan bermotifkan cinta tiga segi.
Suspek dikenali sebagai Iqbal Asnan didakwa membunuh kakitangan Agensi Pengangkutan Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia iatu Najamuddin Sewang.
Iqbal ditahan di rumahnya di JI Muh Tahir, Kecamatan Tamalate, Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia pada Sabtu.
Menurut abang kepada Najamuddin iaitu Juni, adiknya mengenali seorang wanita yang hanya dikenali sebagai RCH.
RCH merupakan salah seorang ketua bahagian di Agensi Pengangkutan Makassar.
Menerusi gambar yang tular di media sosial, RCH merupakan seorang wanita bertudung, berkulit putih dan berkaca mata.
Ujar Juni, Iqbal pernah menelefon mangsa dan memberi amaran agar tidak mengganggu RCH lagi pada 2019.
Ketika itu, Iqbal bertugas sebagai Pemangku Ketua Jabatan Pengangkutan Makassar.
Najamuddin ditemui mati pada 3 April lalu. Pada mulanya, mangsa disyaki meninggal dunia akibat kemalangan.
Namun, selepas jenazahnya hendak dikafankan, mereka sekeluarga menemukan satu lubang di badan si mati.
Iqbal (tengah) ditahan di rumahnya pada Sabtu. — Agensi
Lubang berkenaan menyerupai luka tembakan dan berdarah.
Berdasarkan penemuan tersebut, keluarganya bersetuju untuk menjalankan bedah siasat ke atas mayat Najamuddin.
Selepas bedah siasat dijalankan, didapati Najamuddin mati ditembak.
Menurut polis, empat suspek didakwa terbabit dalam insiden pembunuhan Najamuddin.
"Salah seorang suspek adalah Iqbal Asnan manakala tiga lagi adalah mempunyai huruf awalan S, AKM dan A," kata Pesuruhjaya Polis, Budhi Haryanto.
Iqbal dikatakan mengupah tiga lagi suspek tersebut untuk membunuh Najamuddin.
Justeru, Iqbal didakwa dengan Perkara 340 Kanun Jenayah iaitu pembunuhan terancang dan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram