TENTERA Israel menembak mati seorang wanita Palestin pada Ahad berhampiran bandar Bethlehem di selatan Tebing Barat, kata Kementerian Kesihatan Palestin.
Kementerian itu berkata, wanita berusia dalam lingkungan 40-an itu meninggal dunia di sebuah hospital di bandar Beit Jala, Tebing Barat selepas mengalami kehilangan banyak darah akibat saluran arteri koyak.
Mangsa atau nama sebenarnya Ghada Ibrahim Sabatien merupakan seorang balu dan ibu kepada enam anak.
Sementara itu, tentera Israel berkata, mereka melepaskan tembakan amaran ke udara apabila wanita itu menghampiri mereka di bandar Husan, sebelum mereka menembak ke arah bahagian bawah badan mangsa.
Katanya lagi, wanita itu kemudian dibawa ke Persatuan Bulan Sabit Merah untuk mendapatkan rawatan.
"Siasatan sedang dilakukan berhubung insiden tersebut yang berlaku di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di Israel dan Tebing Barat," ujarnya.
Pada pagi Ahad, tentera Israel menyerbu bandar Jenin di utara Tebing Barat, berikutan serangan maut di bandar pantai Tel Aviv pada Khamis.
Serangan itu dilakukan oleh seorang penduduk kem pelarian Jenin, yang membunuh tiga lelaki Israel. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram