SEPASUKAN anggota polis dari Balai Sungai Long, Kajang terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah Perodua Myvi yang hampir merempuh mereka dalam cubaan meloloskan diri selepas enggan berhenti untuk diperiksa pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian sekitar pukul 2 pagi tersebut, tiga anggota berkenaan sedang membuat rondaan cegah jenayah, cuba untuk menahan Perodua Myvi berwarna merah yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, suspek bertindak memecut laju selepas diarahkan berhenti oleh anggota polis berkenaan dan berlaku kejar mengejar antara mereka dalam jarak dianggarkan sekitar tiga kilometer (km).
"Sepanjang kejadian kejar mengejar suspek telah beberapa kali cuba menghimpit anggota yang menaiki motosikal ketika itu.
"Setibanya di sebatang jalan mati, suspek tetap enggan memberhentikan kenderaan dan bertindak membuat pusingan U lalu cuba merempuh ketiga-tiga anggota polis.
"Akibat rasa terancam anggota polis telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta suspek untuk mempertahankan diri. Namun suspek berjaya meloloskan diri," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, hasil pemantauan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berjaya menahan suspek seorang lelaki warga asing dan seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut, di sekitar Bandar Sungai Long pada Khamis.
Mohd Zaid berkata, beberapa individu masih dikesan untuk membantu siasatan dan polis akan membuat permohonan reman ke atas kedua-dua suspek di Mahkamah Kajang pada Jumaat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram