SEKURANG-KURANGNYA 158 penduduk Palestin cedera akibat pertempuran dengan unit polis Israel, yang menceroboh Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis.
Agensi Berita Palestin Wafa pada Jumaat memetik Bulan Sabit Merah Palestin, melaporkan bahawa unit polis Israel pada pagi Jumaat menyerbu Masjid Al-Aqsa, masjid ketiga paling suci bagi umat Islam, ketika ribuan penduduk Palestin menunaikan solat Subuh.
Polis melepaskan tembakan peluru getah, melancarkan bom bunyi dan menyebarkan gas pemedih mata.
Rakaman di media sosial itu turut menunjukkan warga Palestin membaling batu ke arah anggota polis.
Bulan Sabit Merah Palestin berkata, rejim Zionis cuba mengganggu ketibaan ambulans dan paramedik ke masjid berkenaan.
Tambah laporan media Palestin, puluhan mangsa yang cedera masih terperangkap di lokasi kejadian.
Sementara itu, rejim Zionis berkata, mereka menahan kira-kira 300 penduduk Palestin namun sumber Palestin mendedahkan seramai 400 orang ditahan.
Penduduk Palestin membantah tindakan rejim Zionis pada Jumaat. — AP
Dalam pada itu, seorang jurukamera Palestin, Rami al-Khatib berkata, rejim Zionis bertindak ganas cuba mengosongkan Masjid al-Aqsa.
"Mereka menyerang kakitangan masjid, orang ramai, warga emas dan remaja. Terdapat ramai yang tercedera, mereka melepaskan peluru getah dalam Masjid al-Aqsa.
"Mereka memukul semua, termasuk paramedik," katanya yang menyaksikan kejadian itu.
Insiden itu berlaku pada Jumaat kedua Ramadan, yang mengumpulkan ribuan umat Islam menunaikan solat.
Minggu lalu, Masjid al-Aqsa dihadiri hampir 80,000 orang untuk solat Jumaat.
Media juga melaporkan bahawa tentera Israel mengehadkan bilangan orang yang memasuki Baitulmaqdis dari Tebing Barat yang ingin menunaikan solat di Masjid al-Aqsa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram