Lima jemaah Tarawih masjid di Toronto cedera terkena tembakan rambang


  • Benua
  • Ahad, 17 Apr 2022

Sekumpulan individu itu berada di tempat letak kereta untuk membincangkan tempat makan selepas mereka baru selesai solat di kawasan Markham Road dan Lawrence Avenue East.

SERAMAI lima orang cedera dalam insiden tembakan di sebuah masjid di Toronto, Kanada pada Sabtu, lapor Agensi CTV News Toronto.

Jurucakap Polis Toronto, David Rydzik berkata, kejadian berlaku di kawasan Scarborough apabila sekumpulan lelaki melepaskan tembakan sebaik selesai menunaikan solat Tarawih.

Menurut polis, pada kira-kira pukul 1 pagi, sekumpulan individu berada di tempat letak kereta untuk membincangkan tempat makan selepas mereka baru selesai solat di kawasan Markham Road dan Lawrence Avenue East.

“Ketika mereka baru bersiap untuk pergi, tembakan kedengaran. Malangnya lima individu itu telah terkena tembakan. Dari apa yang kami percaya, ia mungkin datang dari kenderaan yang lalu di sekitar di Markham Road,” kata David Rydzik pada sidang akhbar petang Sabtu.

Empat lelaki ditemui di tempat kejadian dengan kesan tembakan dan dibawa ke hospital dengan kecederaan serius, kata polis.

Mangsa kelima pula mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa dan dia bertindak untuk pergi sendiri ke hospital.

Polis berkata, mangsa berusia antara 28 dan 35 tahun dan ada yang sudah berkahwin dan mempunyai anak.

"Tiga daripada lima mereka telah dikeluarkan dari hospital dan dua lagi akan dijangka pulih," kata Rydzik.

Menurut Rydzik, sekurang-kurangnya sebanyak enam das tembakan dilepaskan ke arah sekumpulan lelaki itu namun sehingga kini pihak polis mengetahui bilangan sebenar suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

Berdasarkan laporan awal, polis berkata, suspek melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki kereta biru dan bergerak ke arah utara di Markham Road.

“Kami percaya bahawa suspek berada di dalam kenderaan yang sedang dalam perjalanan. Kami sedang berusaha untuk mengumpul rakaman video pengawasana dan cuba mengesahkan perkara itu. Jadi buat pada masa ini, saya tidak dapat menyatakan kenderaan apa yang digunakan ketika kejadian menembak itu dan saya juga tidak mempunyai keterangan suspek pada masa ini,” kata Rydzik.

Polis berkata, buat masa ini mereka tidak boleh menyatakan jika mangsa menjadi sasaran suspek adalah kerana pegangan agama mereka.

Dalam pada itu, polis turut meminta bagi sesiapa yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera pemuka boleh menghubungi berkuasa untuk membantu siasatan.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram