Gas pemedih mata dibalas mercun, jemaah masjid ketakutan pelajar universiti tunjuk perasaan


  • Berita
  • Selasa, 12 Apr 2022

Para jemaah yang selesai menunaikan solat tarawih keluar dari sebuah masjid di Makassar.

TINDAKAN tunjuk perasaan di hadapan Universiti Negeri Makassar (UNM), di Makassar, Sulawesi Selatan berakhir dengan huru-hara pada Isnin.

Ia memaksa pihak polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan sekitar pukul 8 malam untuk menyuraikan orang ramai.

Bagi mengelakkan ditangkap pihak berkuasa, peserta tunjuk perasaan dalam kalangan penuntut UNM segera masuk ke dalam kampus.

Namun, pihak polis terus mengejar mereka hingga ke kawasan kampus dan melepaskan gas pemedih mata.

Tidak duduk diam, penunjuk perasaan turut membalas serangan dengan menghidupkan mercun.

Kejadian itu mengejutkan jemaah yang baru sahaja menunaikan solat Isyak di masjid berdekatan iaitu Masjid Nurul Ilmi.

“Polis melepaskan gas pemedih mata berulang kali.

“Jadi, ahli jawatankuasa masjid meminta pihak polis dan pelajar supaya bertenang kerana mereka sedang beribadat di dalam masjid,” kata seorang jemaah, yang hanya dikenali sebagai Hardiansyah.

Meskipun terdengar bunyi tembakan, jemaah tetap meneruskan ibadat solat Tarawih sehingga witir.

“Kami sudah habis witir tetapi jemaah takut mahu keluar dari masjid,” kata Hardiansyah.

Pada masa sama, semua jemaah yang menunaikan solat di dalam masjid itu turut terkena gas pemedih mata.

Tegas Hardiansyah, tindakan tunjuk perasaan selain serangan antara satu sama lain antara pihak polis dan penunjuk perasaan tidak sepatutnya berlaku.

"Lebih-lebih lagi, ia dilakukan berdekatan kawasan perumahan dan ini sememangnya mengganggu khusyuk solat," katanya.

Dia turut berharap perkara itu tidak berlaku pada masa akan datang.

Pada masa sama, ahli jawatankuasa masjid turut memberi amaran kepada mereka yang terlibat supaya berhenti membuat kekecohan itu.

"Tolong berhenti. Jangan teruskan. Jemaah terkejut dan takut," katanya.

Situasi selepas itu kembali tenang apabila tiada lagi bunyi tembakan atau lontaran.

Para jemaah juga segera meninggalkan masjid dalam ketakutan, manakala sebahagian daripadanya menangis akibat terkena gas pemedih mata.

Pihak polis turut mengiringi jemaah untuk pulang.

Kekecohan berterusan

Meskipun jemaah telah pulang, pihak polis sekali lagi melepaskan gas pemedih mata sekitar pukul 9.15 malam, manakala penunjuk perasaan pula melontar batu dan membakar mercun ke arah pihak berkuasa itu.

Tidak lama kemudian, penunjuk perasaan yang berada di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan berlari ke arah Fakulti Sains Sosial sebelum dikejar polis.

Keadaan mula reda pada pukul 10 malam waktu tempatan.

Namun, sebilangan anggota polis masih berkawal di hadapan kampus dan juga di sekitar Jalan AP Pettarani.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram