SEPANJANG bulan Ramadan, aktiviti sahur pasti menjadi agenda wajib bagi pelajar yang tinggal di sekolah berasrama.
Pelajar diajar berkongsi makanan terutama ketika bersahur dan berbuka puasa pada bulan Ramadan.
Namun berbeza halnya dalam situasi yang terjadi di sebuah asrama penuh yang tidak disebut nama dan lokasinya.
Video itu pertama kali dimuat naik oleh akaun Instagram @memomedsos pada 9 April lalu sebelum tular di media sosial.
“Suasana bersahur di sekolah asrama” tulis kapsyen video itu. Dalam video pendek tersebut, kelihatan bekas-bekas makanan disusun panjang di tengah-tengah halaman sekolah berkenaan.
Setelah nasi putih, lauk dan sayur diletakkan, para pelajar dipanggil turun untuk segera menjamu menu sahur.
Apabila dipanggil, berpuluh-puluh pelajar segera berlari malah kelihatan memijak antara satu sama lain, demi merebut tempat makan yang selesa.
Bagi yang datang lambat, mereka bingung mencari tempat duduk makan.
Melihat kekecohan suasana sahur itu lebih-lebih membabitkan pelajar yang majoritinya masih kanak-kanak, membuatkan netizen berasa sayu.
Ini boleh dilihat di ruangan komen dalam siaran video.
"Ibu bapa kena selektif dalam memilih sekolah berasrama untuk anak-anak. Mahal sikit tak apa, kita cari rezeki lebih, yang penting anak-anak selesa apabila belajar," komen @dew**.
“Kalau teratur, pasti lagi bagus dan semua orang dapat ikut bahagian masing-masing,” tulis @kid***.
"Kalau macam tu, bagaimana jika yang terakhir sampai? Mungkin tak sempat makan sahur," komen @syi**.
"Bukankah lebih baik letak dalam pinggan, walaupun catuan sikit-sikit, semua dapat merasa," cadang @yul**..
Menurut laporan Detik Food pada Rabu, admin Instagram @memomedsos yang memuat naik video itu berkata, pihaknya tidak mengetahui lokasi sebenar sekolah berkenaan.
Ini kerana video yang mereka dapat adalah hasil hantaran netizen. Walaupun lokasi sebenar video ini tidak diketahui, netizen tetap meninggalkan komen mereka.
Ramai netizen bersetuju agar pengurus sekolah berasama memberi lebih perhatian kepada penyediaan makanan supaya kejadian berebut makanan sedemikian tidak terjadi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram