Apakah waktu Imsak masih dibolehkan makan? Ini penjelasan Mufti Terengganu


  • Mukmin
  • Sabtu, 16 Apr 2022

Waktu Imsak adalah masa untuk orang yang sedang bersahur ihtiyat ataupun perlu berjaga-jaga sambil menunggu azan Subuh berkumandang. — Agensi

MELEWAT-LEWATKAN sahur adalah sunnah Rasulullah SAW dibulan Ramadan dan selalunya ramai orang akan bangun lewat untuk bersahur sehingga ada yang masih sahaja makan walaupun semasa waktu Imsak.

Terdapat segelintir umat Islam akan segera berhenti untuk bersahur dan ada juga yang masih meneruskan makan walaupun waktu Imsak telah berlalu kerana mereka hanya ingin berhenti ketika azan Subuh berkumandang.

Susulan masih ada yang sering mempersoalkan apakah makan dan minum sahur selepas waktu Imsak hingga azan Subuh adalah dibenarkan dalam Islam? Jom kita ketahui penjelasan mengenai perkara berkenaan.

Menjawab perkara itu, Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata, waktu Imsak adalah masa untuk orang yang sedang bersahur ihtiyat ataupun perlu berjaga-jaga sambil menunggu azan Subuh berkumandang

mufti ganu

Mufti Terengganu, Mohamad Sabri menjelaskan mengenai waktu Imsak.

"Waktu Imsak itu dikirakan sebagai waktu berhati-hatilah. Maksudnya 10 minit sebelum azan kita perlu berjaga-jaga ataupun dipanggil sebagai tempoh berhati-hati. Selagi belum benar-benar masuk waktu Subuh, kita masih dibolehkan untuk makan cuma perlu ihtiyatlah.

"Kadang-kadang ketika menunggu waktu, orang yang nak pergi azan itu mungkin lambat.

"Bila azan lambat berkumandang, orang pun dengar azan lambatlah kan. Jadi waktu Imsak itu adalah untuk digunakan sebagai tempoh berjaga-jagalah," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, ketika waktu Subuh barulah situasi yang tidak membenarkan untuk makan dan waktu Imsak pula dibenarkan untuk bersahur cuma diperuntukkan untuk ihtiyat agar tidak leka semasa makan.

"Maknanya semasa waktu Imsak itu boleh lagilah untuk makan. cuma selepas waktu itu barulah sebenarnya tidak boleh makan.

"Jika semasa azan itu masih ada air, perlu terus dibuang, jangan ditelan. Bila kita tidak tahu boleh lagi minum.

"Namun jika sudah jelas dan tahu akan perkara itu, maka tidak bolehlah menelan makanan itu. Apabila sudah jelas waktu kita berpuasa, maka kita ludah baliklah minuman itu," jelasnya.

Kesimpulannya, Imsak hanya sebagai peringatan agar kita tidak terus makan apabila azan sudah berkumandang.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram