Terima upah tak sampai RM3, remaja yatim sanggup jadi badut demi sara ayah sakit


  • Benua
  • Sabtu, 16 Apr 2022

Remaja 13 tahun ini akan mencari pendapatan untuk menyara keluarga dengan menjadi badut jalanan. — Agensi

DI sebalik wajah lucu patung beruang itu, ada kesedihan yang menyelubungi susuk penghibur jalanan yang hanya merupakan seorang budak lelaki berusia 13 tahun.

Remaja itu, Masridil yang membahasakan dirinya sebagai Aidil tidak dapat menahan tangis apabila seorang sukarelawan bertanyakan alasan dia menjadi badut jalanan.

“Ayah sering sakit, ayah sudah tua, Aidil tidak mahu kehilangan ayah, Aidil sanggup melakukan apa saja untuk ayah sihat kembali,” katanya sambil menangis teresak-esak.

Aidil yang ditinggalkan oleh ibunya sejak berumur lima tahun berkata, dia hanya memperoleh pendapatan 5000 rupiah (RM1.47) hingga 10,000 (RM2.95) dengan menjadi badut.

"Wang yang diterima tidak seberapa...cukuplah untuk makan dan yuran sekolah," katanya seperti dilaporkan IDN Times pada Jumaat dengan memetik Instagram Rumah Yatim.

118440018-318767949369859-7760411869672471230-n-9165ca0e28ac034f2860feafd58f65d1

Aidil tidak malu menjadi badut jalanan dengan mengenakan kostum beruang. — Agensi

Setiap kali pulang dari sekolah, dia segera mengambil tempat di lampu merah untuk menjadi badut jalanan.

Dia kini menjadi tulang belakang keluarga kerana bapanya sering pengsan di tempat kerja selain sering sesak nafas.

“Ayah dah tua dan batuk, Aidil kasihan. Sepatutnya ayah rehat, tapi nanti nak makan apa?,” katanya menahan sebak.

Simpati dengan nasib yang dialami Aidil, Rumah Yatim cawangan Riau menyediakan bantuan pendidikan dalam bentuk biasiswa dan kelengkapan persekolahan kepada Aidil.

Bantuan itu disampaikan terus di rumah sewa dua beranak itu di Jalan Bungo Kandung, Kampung Labuh Baru Barat, Daerah Payung Sekaki, Pekanbaru, Indonesia.

275597522-344124857622776-316049627182874031-n-5d5c13c1ffe272a48377bb7aa84d94c5

Aidil bersyukur kerana mendapat bantuan baju dan peralatan sekolah daripada Rumah Yatim Riau. — Agensi

“Alhamdulillah, sebelum itu, kami meminta Aidil membeli-belah segala keperluan sekolahnya.

"Aidil dan bapanya kelihatan sangat gembira apabila menerima bantuan ini dan semoga bantuan ini dapat meningkatkan lagi semangat Aidil dalam menuntut ilmu demi mengejar impiannya,” kata Rizky, salah seorang sukarelawan Rumah Yatim Riau.

Rizky berkata, Aidil hanya mempunyai satu uniform sekolah dan dia tidak mempunyai baju sukan mahupun baju batik.

Jadi katanya, pakaian Aidil nampak paling kusam dan lusuh dalam kalangan kawan-kawannya. Sungguhpun begitu, Aidil tidak pernah berasa rendah diri untuk terus ke sekolah dan belajar.

“Beg dan kasut Aidil juga lusuh, jadi selain pakaian sekolah, kami turut menyumbang beg, kasut, alat tulis, pakaian seragam dan wang tunai.

img-25032022-111345-640-x-480-piksel-66b433b5416abafb41bd753ce293d98b

Antara sumbangan bantuan persekolahan yang disumbangkan kepada Aidil. — Agensi

"Bantuan ini diberikan bagi menyokong semangat Aidil dalam menuntut ilmu,” kata Rizky sambil memberitahu, sumbangan itu adalah hasil pengumpulan dana anak yatim secara dalam talian di platform donasionline.id.

Menurutnya, ramai orang baik yang sangat mengambil berat tentang Aidil dan memberikan sedikit rezeki untuk membantunya.

“Alhamdulillah ramai yang mengambil berat tentang Aidil, semoga lebih ramai lagi insan yang baik-baik membantu Aidil agar bantuan terus mengalir untuknya.

"Terima kasih kepada penyumbang yang telah membantu Aidil melalui Rumah Yatim, semoga apa yang diberikan dapat menjadi berkat dan amal jariah,” kata Rizky. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram