Kes amuk Beach Road, suami isteri duduk berasingan ada dua anak


  • Benua
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki menetak isterinya dalam kejadian di Beach Road pada Khamis. — Agensi

LELAKI yang didakwa menetak isterinya berulang kali di luar sebuah restoran di Beach Road, Singapura dalam kejadian pada petang Khamis dikatakan duduk berasingan daripada wanita terbabit.

The Straits Times melaporkan, dakwaan itu berdasarkan cakap-cakap individu yang mengenali pasangan berkenaan.

Mereka menambah bahawa lelaki itu yang berusia 46 tahun dan isterinya, 41 tahun, mempunyai dua anak iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan.

"Keluarga itu berasal dari China," kata kakitangan restoran di kawasan itu.

Wei Chen Xiang, seorang pekerja dari Zhong Hua Steamboat berkata, mangsa bekerja di Chong Qing (Origin) Steamboat selama kira-kira setahun dan menyifatkan dia sebagai wanita yang peramah.

Kedua-dua restoran stimbot itu terletak di Beach Road.

Rakaman tular kejadian suami amuk tetak isteri di Beach Road, pada Khamis.

“Dia selalu bertanya khabar sambil tersenyum apabila kami bertembung antara satu sama lain dan nampaknya dia orang yang baik budi pekerti,” kata Chen Xiang, 32.

Sementara itu, Leonard Shi, pemilik Samurai BBQ, yang terletak di Jalan Liang Seah berkata, mangsa berasal dari Henan, sebuah wilayah di China Tengah.

"Saya dengar dia berniat untuk pulang ke China suatu ketika dahulu, tetapi terus membantu bosnya yang mengusahakan restoran hotpot di sini," katanya.

Restoran Chong Qing (Origin) Steamboat telah ditutup apabila The Straits Times meninjau premis pada petang Jumaat (15 April).

Ketika dihubungi, salah seorang kakitangan mereka berkata, mereka sedang membantu siasatan polis dan enggan mengulas lanjut.

Terdahulu tular satu rakaman video menunjukkan seorang lelaki menetak seorang wanita dengan pisau pemotong dalam kejadian di Beach Road, Singapura.

Suspek lelaki itu ditahan pada petang Khamis kerana cubaan membunuh yang menyebabkan wanita itu cedera parah akibat luka tetakan.

Dia akan didakwa di mahkamah pada Sabtu. Jika didapati bersalah, lelaki itu berdepan hukuman penjara seumur hidup, penjara sehingga 20 tahun dan denda, atau kedua-duanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram