PERANG Rusia ke atas Ukraine, yang telah berlaku sejak 24 Februari lalu, mungkin dilihat ramai di Asia Tenggara sebagai sesuatu yang agak jauh. Bagaimanapun, peperangan ini mempunyai kesan yang lebih mendalam kepada kita – dan ramai penganalisis bimbang akan respons China terhadap krisis ini.
Seperti Rusia, China juga adalah kuasa ekonomi besar dengan senjata nuklear. Kita tidak dapat menafikan bahawa terdapat persamaan dari segi pandangan Rusia mengenai Ukraine dan bagaimana China bertindak terhadap Taiwan yang condong ke arah Barat. Sekiranya China melihat tidak banyak kesan kritikal terhadap Rusia atau impak daripada kesannya adalah lemah, ia mungkin menguatkan China dalam menuntut kedaulatan ke atas Taiwan dengan lebih banyak kaedah fizikal – dan paling penting, mengukuhkan penguasaannya di Laut China Selatan.
Seperti mana Eropah bergantung kepada bekalan gas Rusia (40% gas Eropah datang dari Rusia), banyak negara Asia Tenggara berasa terhutang budi kepada China melalui perdagangan rentas sempadan dan pelaburan asing langsung. Negara-negara Asia Tenggara mempunyai hubungan perdagangan yang rapat dengan China, dengan China menyumbang 20% kepada dagangan barangan ASEAN pada 2021.
China juga adalah satu daripada pelabur utama di beberapa negara anggota Asean seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Malaysia, Myanmar, Kemboja dan Laos. China (dan Hong Kong) adalah pelabur kedua terbesar di ASEAN pada 2020. Projek Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China adalah antara sumber utama bagi peruntukan pembangunan infrastruktur di negara-negara ini.
Kerjasama ekonomi antara China dan Asean akan meningkat, selaras dengan urusan perdagangan bebas mega Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang ditandatangani pada 2020 dan berkuatkuasa sejak 1 Januari 2022. Menurut Nikkei, China mengambil kesempatan semasa penurunan pelaburan asing langsung dalam tempoh pandemik ini untuk ‘menewaskan’ Amerika Syarikat (AS) dari segi pelaburan di wilayah ini.
Profesor Madya Dr Guido Benny, Pengarah Program Sarjana Muda Sains Sosial (Kepujian) dalam Hubungan Antarabangsa, Universiti Taylor’s
Ini telah menyebabkan hubungan yang agak sukar apabila China meneruskan tuntutannya ke atas perairan sekitar Asean, dengan beberapa pertempuran tentera dan perbalahan maritim berlaku sejak beberapa tahun lepas. Sudah tentu Asia Tenggara tidak kukuh dalam kedudukannya semasa berdepan dengan China.
Terletak di kawasan strategik secara geografi bagi keselamatan, perniagaan dan perdagangan, Laut China Selatan juga adalah sumber yang kaya bagi Asia Tenggara – terutamanya bagi minyak, gas dan perikanan. Sebelum ini, China telah menuntut keseluruhan Laut China Selatan, dengan memetik sejarah hak dari zaman dinasti Xia, dan menggubal Undang-undang ke atas Perairan Wilayah dan Zon Bersempadan pada 1992.
Selain daripada meningkatkan rondaan, China juga telah membina beberapa buah pulau buatan yang berfungsi sebagai pangkalan tentera, seperti yang dikesan oleh satelit sejak lapan tahun lepas. Satu daripadanya adalah Mischief Reef – yang hanyalah 250km dari Filipina dan 437km dari Sabah.
Sementara itu, AS, Jepun, Australia dan Britain telah meningkatkan kehadiran tentera laut di wilayah Indo-Pasifik. Amerika Syarikat telah melakukan Operasi Kebebasan Pelayaran (FONOPS) di Laut China Selatan sejak 2013 dan menegaskan bahawa operasi mereka adalah untuk mengekalkan Kebebasan Pelayaran sebagai satu daripada prinsip undang-undang antarabangsa biasa di bawah Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS). Bagaimanapun, ia dilihat sebagai provokasi ke atas China yang telah menuntut sebahagian besar Laut China Selatan.
Asean sentiasa kekal ‘neutral’ dan tidak masuk campur, dan kita tidak boleh bergantung kepada sokongan kuasa Barat sekiranya China terus berpendirian agresif dalam isu maritim ini. Dengan memerhatikan peperangan di Ukraine, di mana Nato memberikan sokongan yang minimal walaupun telah berjanji memberi keanggotaan kepada Ukraine, terbukti bahawa kita tidak boleh bergantung kepada kuasa luar untuk menyelesaikan konflik di wilayah ini.
Satu-satunya cara bagi Asean untuk mempertahankan dirinya adalah bersatu-padu – tetapi di sinilah masalahnya. Negara anggota Asean mematuhi cara Asean, berdasarkan kepada prinsip kesepakatan di mana jika ada satu anggota yang tidak bersetuju dengan cadangan, ia tidak akan dilaksanakan. Malahan, kesepakatan ini dieksploitasi oleh China pada 2017 semasa Mesyuarat Asean ke-30 di Manila, yang mana anggota Asean tidak dapat mencapai persetujuan untuk mengecam tindakan ketenteraan China dan perbalahan di Laut China Selatan.
Respons negara Asia Tenggara kepada Rusia telah menunjukkan keretakan di dalam Asean sendiri, dengan respons dan pandangan berbeza daripada pemimpin negaranya. Hanya Singapura yang mengutuk keras serangan Rusia dan mengenakan sekatan ke atas Rusia, manakala negara Asean lain berharap kepada resolusi yang aman dan tidak menamakan Rusia sebagai penceroboh. Sebaliknya, Myanmar telah memuji dan menyokong penuh Rusia.
Kebanyakan negara Asean telah membeli peralatan ketenteraan dan senjata mereka dari Rusia. Rusia merupakan pengeksport pertahanan utama di Asia Tenggara sejak 20 tahun lepas, melebihi eksport senjata dari Amerika Syarikat, Perancis, Jerman atau United Kingdom. Antara pelanggan industri pertahanan Rusia adalah Vietnam, Malaysia, Myanmar, Indonesia, Laos dan Thailand. Dalam hal ini, siapa lagi yang boleh diharap untuk melakukan penyelenggaraan dan alat gantian jika bukan Rusia?
Kita boleh menjangkakan respons agak serupa daripada Asean jika China mengawal Laut China Selatan dan terlibat dalam konflik ketenteraan. Adalah menjadi kepentingan wilayah ini untuk mengekalkan hubungan baik dengan China dan menikmati faedah daripada perniagaan, perdagangan, pelaburan dan peluang, dengan setiap negara mendapat manfaat dari China untuk menangani keperluan pembangunan dan politik masing-masing.
Bagaimanapun, ditambah oleh perpecahan di dalam Asean sendiri, keadaan ini akan menjadi punca kejatuhan kita. — Majoriti
Profesor Madya Dr Guido Benny,
Pengarah Program Sarjana Muda Sains Sosial (Kepujian) dalam Hubungan Antarabangsa,
Universiti Taylor’s
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram