Penjara Iran umpama ruang menunggu kematian banduan sakit, 96 maut kerana rawatan perubatan dinafikan


  • Benua
  • Rabu, 13 Apr 2022

Pemeriksaan terhadap 96 kematian dalam tahanan mendapati, beberapa banduan meninggal dunia tanpa penjagaan rapi. — Agensi

KAKITANGAN penjara Iran didakwa bertanggungjawab atas kematian banduan kerana mengabaikan keperluan perubatan dan rawatan kecemasan mereka di hospital, demikian menurut satu laporan.

Pemeriksaan terhadap 96 kematian dalam tahanan mendapati, beberapa banduan meninggal dunia tanpa penjagaan rapi selepas dipukul di dalam pejara manakala yang lain dipindahkan ke kurungan bersendirian walaupun sedang sakit tenat.

Laporan oleh kumpulan hak asasi manusia Amnesty International mendapati, dua pertiga daripada kematian dalam penjara merekodkan banduan dituduh 'memalsukan' penyakit mereka dan menolak rawatan hospital.

Menurut laporan itu lagi, sekurang-kurangnya 26 daripadanya meninggal dunia semasa dipndahkan ke hospital atau sejurus selepas dimasukkan ke wad berikutan kelewatan yang disengajakan.

Kematian dalam tahanan berikutan pengabaian rawatan perubatan yang disengajakan di penjara Iran juga membawa kes seorang banduan berusia 19 tahun yang meninggal dunia akibat darah beku di otaknya selepas dipukul semasa ditahan dan soal siasat dua tahun lalu.

Banduan tersebut, Abdolvahed Gomshadzehi membuat beberapa permintaan untuk mendapatkan rawatan tetapi ditolak oleh pihak berkuasa di sebuah penjara di Zahedan, timur Iran, sebelum dia meninggal dunia pada Mei 2016.

“Pengabaian pihak berkuasa Iran terhadap kehidupan manusia telah menjadikan penjara Iran sebagai ruang menunggu kematian bagi banduan sakit,” kata wakil dari Amnesty International, Diana Eltahawy.

Kumpulan itu berkata, pihak berkuasa enggan menjalankan siasatan sewajarnya terhadap individu yang meninggal dunia selepas diabaikan keperluan rawatan perubatan dan gagal memastikan sesiapa yang perlu dipertanggungjawabkan kerana penderaan banduan.

Media tempatan melaporkan beberapa siri kes di mana rawatan perubatan telah dinafikan buat banduan.

Ia termasuk kes Baktash Abtin, seorang penyair dan aktivis kebebasan bersuara yang dipenjarakan.

Dia meninggal dunia pada Januari lalu dalam keadaan koma yang disebabkan oleh Covid-19 selepas pemindahannya ke hospital ditangguhkan.

penjara iran 2

Penyair Iran Baktash Abtin meninggal dunia pada Januari lalu akibat Covid-19 selepas kakitangan penjara menangguhkan pemindahan ke hospital.

Pengikutnya menuduh Iran bertanggungjawab atas kematiannya. Masalah kesihatan yang dihihidapi oleh lelaki berusia 48 tahun itu turut dikenakan "hukuman mati " apabila dia dipenjarakan selama enam tahun atas tuduhan keselamatan negara pada 2021, demikian kata kumpulan kempen kebebasan bersuara, PEN America.

Salah seorang banduan tertua di penjara Evin, di Tehran, Shokrollah Jebeli, 83, meninggal dunia bulan lalu selepas pihak berkuasa mengabaikan keperluan perubatan lelaki itu selama berbulan-bulan yang menyebabkan kesihatannya merosot, menurut keluarga dan kumpulan hak asasi manusia.

penjara iran 1

Shokrollah meninggal dunia di penjara Evin selepas pendakwa raya menuntut wang untuk pembebasannya atas alasan perubatan.

Dia dihantar semula ke penjara meskipun disarankan supaya mendapatkan rawatan di hospital pada hari sama diserang angin ahmar.

Shokrollah telah dimasukkan di dalam sel yang sesak dan dipenuhi serangga dengan kira-kira 19 banduan dan terpaksa tidur di atas tilam di lantai.

Dengan keadaan kesihatannya yang lemah, bermakna dia bergantung kepada banduan lain untuk membantunya melaksanakan tugas-tugas asas harian, kata Amnesty.

Tetapi pendakwa berkata dia hanya akan dibebaskan atas alasan kesihatan jika keluarganya membayar AS$290,000 (RM1,227,512), menurut kumpulan itu.

Laporan Amnesty memfokuskan kepada kematian 92 lelaki dan empat wanita di 30 penjara di 18 wilayah di seluruh Iran sejak Januari 2010.

Dua puluh daripada kematian itu adalah banduan yang didakwa atas kesalahan politik.

Kumpulan itu meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengumpul dan menyimpan bukti jenayah di bawah undang-undang antarabangsa bagi tujuan pendakwaan pada masa depan.

Menurutnya, klinik penjara kurang kelengkapan dan kakitangan menyebabkan petugasnya sering mengabaikan banduan daripada mendapat rawatan sewajarnya termasuk ujian, pemeriksaan dan penjagaan yang bersesuaian selepas penahanan.

Isteri kepada salah seorang banduan yang juga pakar perubatan kesihatan bencana, Ahmadreza Djalali menceritakan suaminya telah dihantar semula ke penjara Evin hanya semalam selepas menjalani pembedahan perut dan ketika dia mengalami kesakitan dan pendarahan yang teruk.

Katanya yang dikenali dengan nama Vida Mehrannia, suaminya pergi ke klinik dalam penjara di mana kakitangan farmasi tidak memberikannya ubat.

“Mereka menjadi marah dan salah seorang daripada mereka menyerang Ahmadreza.

“Nasib baik, ramai banduan berada di situ dan menyelamatkan Ahmadreza daripada cedera. Dia hanya mendapat beberapa tumbukan di dadanya,” katanya mengenai suaminya yang dijatuhkan hukuman mati selepas dituduh mengintip untuk Israel.

Dia mempunyai beberapa masalah kesihatan dan mengalami penurunan berat badan yang drastik.

PBB bagaimanapun memaklumkan, Ahmadreza telah ditahan secara tidak adil dan telah memohon untuk pembebasannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram