Cedera di muka, leher... Lelaki maut ditetak depan kedai makan di Serdang


  • 112
  • Isnin, 04 Apr 2022

KES disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

SEORANG lelaki maut dipercayai akibat ditetak di hadapan sebuah kedai makan di Jalan BS 6/8 Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan di Serdang, Selangor pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu kira-kira jam 5.56 pagi selepas mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.

"Mangsa merupakan lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30 tahun dan beralamat di Taman Bukit Serdang.

"Siasatan awal mendapati mangsa dibunuh dipercayai menggunakan senjata tajam seperti parang dan terdapat kesan tetak pada bahagian muka, leher serta tangan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Tambahnya, pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan dan menahan kesemua suspek yang dipercayai masih bebas.

"Motif kejadian masih sedang disiasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram