SEORANG pemandu maut manakala seorang lagi pemandu cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Kilometer 18, Jalan Lipis-Merapoh berhampiran simpang Berchang, Lipis, Pahang pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu, kemalangan melibatkan lori jenis Nissan Rigid dan Scania.
Menurutnya, pihak polis menerima maklumat daripada pihak hospital pada jam 4.30 petang pada Sabtu iaitu pemandu lori Nissan, Sulaiman Sabtu, 59, dari Taman Bakti, Padang Tengku di Lipis meninggal dunia di Hospital Kuala Lipis.
"Hasil siasatan awal dan saksi bebas mendapati, lori Nissan dalam perjalanan dari arah Lipis menghala ke Merapoh.
"Apabila sampai di tempat kejadian iaitu di simpang tiga Berchang, lori Nissan yang dipandu mangsa telah mengelak sebuah pacuan empat roda jenis Hilux yang telah keluar dari simpang.
"Ia menyebabkan lori itu memasuki lorong bertentangan sehingga berlaku kemalangan dengan lori Scania yang datang dari arah bertentangan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ujarnya, pemandu Scania berusia 44 tahun mengalami kecederaan ringan di leher manakala pemandu Nissan yang parah meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.
"Bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian swab Covid-19 diperolehi," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram